Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob beramah mesra bersama pengunjung yang hadir sambil membeli juadah untuk berbuka puasa semasa melawat ke Bazar Ramadan Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 04 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada membawa anak-anak mereka mengunjungi tempat-tempat yang sesak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menjaga keselamatan dan kesihatan merupakan tanggungjawab bersama.

“Walaupun kawalan kendiri perlu ditingkatkan untuk mengurangkan jangkitan (Covid-19) terutamanya pemakaian mask atau topeng muka masih diwajibkan dibawah Akta 342, masih berkuatkuasa.

“Macam saya katakan, dari segi penjarakan…walaubagaimanapun, kita perlulah melindungi diri kita kalau nampak tempat tu sesak mungkin kita tak perlu pergi lagi. Kalau keadaan dah kurang sesak baru kita pergi,” katanya ketika ditemui pemberita ketika berkunjung ke Bazar Ramadan di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau berpuas hati kerana rata-rata pengunjung yang datang ke bazar Ramadan mematuhi SOP meskipun dari segi penjarakan tidak lagi menjadi kesalahan selepas kerajaan melonggarkannya pada 1 April lalu.

“SOP yang wajib hanya pemakaian pelitup muka…jadi, kita nampak kesemua pakai pelitup termasuk kanak-kanak.

“Jadi, dari segi kesesakan dan sebagainya macam saya kata bermula 1 April tidak lagi menjadi wajib dan tidak akan didenda jika tiada penjarakan sosial,” ujarnya. – MalaysiaGazette