Baharin Din dan Acryl Sani Abdullah Sani di hadapan kenderaan pacuan empat roda sumbangan TNB kepada PDRM ketika majlis penyerahan sumbangan kenderaan itu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 29 Mac lalu.

KUALA LUMPUR – Perbuatan mencuri elektrik oleh para pengusaha bitcoin didapati semakin serius dengan kes yang dikesan meningkat lebih 400 peratus dalam tempoh empat tahun.

Ia melibatkan 610 kes pada 2018 diikuti 1,043 kes (2019), 2,465 kes (2020) dan 3,091 kes pada 2021.

Rekod menunjukkan sejumlah 7,209 kes dikesan sepanjang empat tahun telah menyebabkan kehilangan lebih 4.5 bilion kilowatt jam (kWh).

Peningkatan kes sejak 2018 ini juga membuktikan kecekapan semua agensi terlibat dalam mengesan perbuatan jenayah tersebut khususnya kerjasama strategik di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mulai tahun 2020.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, aktiviti perlombongan bitcoinyang mengambil bekalan elektrik secara curang bukan sahaja memberi impak kepada syarikat itu malah secara tidak langsung kepada rakyat dan negara.

”Selain boleh menyebabkan kerosakan dan kebakaran pada pepasangan TNB, aktiviti melombong Bitcoin ini memberi kesan kepada pengguna apabila bekalan elektrik terputus,” katanya.

Menurutnya, kerjasama strategik itu telah memberikan impak yang besar dan positif dalam usaha TNB membendung aktiviti kecurian arus elektrik melibatkan pengguna industri dan komersial.

Untuk itu, TNB menyumbang sembilan kenderaan pacuan empat roda kepada PDRM bagi meningkatkan lagi kecekapan menggempur kegiatan mencuri arus elektrik terutama melibatkan aktiviti perlombongan mata wang kripto Bitcoin yang menyebabkan kerugian besar kepada industri tenaga dan negara.

Penyerahan itu dilakukan oleh Baharin kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 29 Mac lalu.

Dalam tempoh dua tahun kerjasama strategik itu, Acryl Sani berkata, PDRM telah berjaya menangkap 627 individu serta merampas barang kes bernilai RM69.8 juta dalam serbuan-serbuan yang dijalankan secara bersepadu dengan TNB.

”PDRM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak TNB atas sumbangan yang diberikan.

Kenderaan-kenderaan berkenaan akan digunakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bagi mempergiatkan usaha membanteras kegiatan kecurian elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin di seluruh negara,” katanya.

Baharin juga berkata, TNB berterima kasih atas sokongan dan kerjasama pihak PDRM dalam membantu mengekang aktiviti jenayah ini di seluruh Semenanjung, seterusnya memastikan bekalan elektrik berdaya harap dapat terus dibekalkan tanpa gangguan kepada rakyat, industri dan komersial.

Pengusikan pepasangan meter atau penyambungan haram oleh para pengusaha bitcoin boleh mencetuskan pelbagai kejadian termasuk gangguan bekalan akibat beban lampau sehingga menyebabkan kebakaran.

Penggunaan melampau rangkaian komputer berkuasa tinggi 24 jam tanpa pengawasan dalam operasi perlombongan bitcoin ini, boleh menyebabkan litar pintas selain penggunaan fius tidak mengikut piawai atau tidak menggunakan sebarang fius dan beban melebihi kapasiti kabel.

Penyambungan haram pula mengakibatkan bacaan pada meter tidak lagi menunjukkan penggunaan elektrik sebenar, sekali gus mengganggu kestabilan bekalan elektrik kerana permintaan melebihi kapasiti, lantas menjejaskan aktiviti perniagaan dan keselesaan rakyat. – MalaysiaGazette