Tenaga Nasiona Berhad

KUALA LUMPUR – Vantage RE Ltd. (Vantage RE), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyelesaikan pengambialihan 100% kepentingan dalam portfolio tenaga angin dalam pesisir 97.3MW di United Kingdom (UK) daripada firma pengurusan aset global bebas yang juga antara peneraju pelabur tenaga bersih dunia, Capital Dynamics dengan pertimbangan berjumlah 145.9
juta pound (RM808.30 juta).

Pengambilalihan itu selepas langkah sulung Vantage RE memasuki pasaran angin luar pesisir di UK pada Oktober lalu, menandakan satu lagi pencapaian penting strategi TNB untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh baharu (RE) globalnya, sambil mengukuhkan kewujudannya dalam pasaran tumpuan.

Portfolio terbaharu ini merangkumi ladang angin daratan yang beroperasi di 11 tapak di UK, dibangunkan di bawah skim subsidi Renewable Obligation Certificate (ROC) dan Feed-in Tariff (FiT), sekali gus dijangka memberikan pulangan stabil dalam jangka panjang.

Apabila proses pengambilalihan selesai, Vantage RE bakal meningkatkan kapasiti REnya sebanyak 23% daripada 433MW kepada 530MW.

Malah, penambahan kapasiti angin daratan ini mempelbagaikan kombinasi teknologi RE Vantage RE yang turut meningkatkan keseimbangan profil portfolio penjanaan tenaga elektriknya sepanjang tahun.

”Pemerolehan ini menandakan kejayaan berterusan TNB dalam pelaksanaan strateginya untuk mengembangkan portfolio di pasaran tumpuan kami seperti UK dan Eropah, sambil mempercepatkan perjalanan memenuhi visi global Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

”Kami berkeyakinan penuh terhadap tanggungjawab semula jadi ke arah dunia yang lebih baik dan kehidupan yang lebih sejahtera (berlandaskan aspirasi TNB menuju pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Hala Tuju Kelestarian TNB ini didukung oleh komitmen kami untuk mengurangkan 35% intensiti pelepasan karbon serta 50% daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

Menurut beliau, pemerolehan strategik aset operasi tambahan itu yang disokong oleh skim subsidi akan membolehkan TNB mendapat manfaat sepenuhnya daripada kestabilan pulangan dan membina daya tahan kewangan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang diburukkan oleh Covid-19.

Di samping itu, ia akan menggerakkan TNB selangkah lagi dalam peralihan tenaga ke arah penjanaan tenaga boleh baharu masa depan, yang rendah karbon selaras dengan Hala Tuju Kelestarian TNB dan visi ESG keseluruhannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vantage RE, Vian Davys berkata, pemerolehan baru bagi portfolio angin dalam pesisir membolehkan syarikat ini memperkasakan kegiatan mengurus dan mengendalikan turbin angin lebih besar di UK.

”Kami mendalami dan memperincikan potensi aset serta keupayaan mewujudkan nilai yang dapat memastikan setiap pelaburan strategik itu menjamin pengukuhan pulangan dan sumbangan kewangan. Ini adalah petanda penting kepada Vantage RE dan TNB dalam membangunkan keupayaan dalamannya dalam bidang angin daratan,” ujarnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Bersama Pasukan Tenaga Bersih Capital Dynamics, Dario Bertagna pula berkata, peluang bekerjasama dengan TNB dalam urusan ini merupakan satu keistimewaan. – MalaysiaGazette