Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah menetapkan 12 Mei depan bagi memberikan tarikh keputusan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Keputusan itu bagi menentukan sama ada Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bebas atau disabit dan dijatuhkan hukuman berhubung kes rasuah berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini juga telah membenarkan permohonan pendakwaan diberikan lebih banyak masa untuk memfailkan jawapan bertulis kepada pasukan pembelaan Rosmah.

Sepatutnya hari ini merupakan tarikh penghujahan lisan peringkat pembelaan pukul 11 pagi tadi namun telah dilapangkan prosiding selain membenarkan pendakwaan memfailkan hujahan bertulis pada 22 April manakala pembelaan perlu memfailkan jawapan mereka jika ada pada atau sebelum 12 Mei ini.

Mohamed Zaini juga menetapkan tarikh sama bagi sebutan kes itu.

Selepas 42 hari perbicaraan dengan mendengar keterangan 25 saksi, perbicaraan pembelaan Rosmah ditutup pada 23 Februari lepas.

Ketika itu juga Mohamed Zaini menolak permohonan Rosmah untuk memanggil semula saksi penting dalam kes berkenaan, iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak Holdings), Saidi Abang Samsudin.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di Nombor 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Semua kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari tahun lalu. -MalaysiaGazette