Saksi yang merupakan bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 05 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail kelihatan serba salah untuk memberitahu sesuatu yang tidak baik  kepada mahkamah ketika umat Islam sedang berpuasa.

Bagaimanapun peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengingatkan Ismee beliau perlu bercakap benar tanpa mengira waktu.

Ini berlaku ketika Muhammad Shafee yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyoal tentang dana 1MDB sebanyak AS$870 juta yang dilaburkan ke luar negara.

Dana itu berjaya ditebus balik sebanyak AS$300 juta dalam masa beberapa hari yang mana ia menggembirakan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB.

Perkara itu telah disampaikan oleh bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah pada Oktober 2014 bahawa dana syarikat yang dilaburkan akan dikembalikan dari luar negara.

Bagaimanapun Muhammad Shafee berkata, perkara itu tidak pernah berlaku dan BOD 1MDB sebenarnya ditipu untuk mempercayai ia benar-benar akan dikembalikan dan Ismee mengangguk tanda bersetuju dengan cadangan peguam bela itu.

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah, pengurusan 1MDB bukan sahaja licik tetapi juga jahat kerana boleh mencuri jutaan dolar AS dari syarikat pelaburan itu.

Jelasnya, ia juga merupakan penipuan terbesar pernah berlaku tetapi BOD 1MDB tidak tahu mengenainya kerana hanya bergantung harap pada pengurusan 1MDB sahaja.

Ismee: Yang Arif, saya sudah cakap sebelum ini apabila beliau tanya saya soalan ini pada November lepas. Pendirian saya sama. Saya katakan sebenarnya BOD telah dikelirukan. Itu yang saya katakan tadi.

Bulan puasa tak sedap hendak cakap.

Shafee: Bulan puasa pun kena cakap perkara yang betul.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 05 APRIL 2022.

Najib berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah hampir RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ismee juga mendedahkan BOD tidak pernah tahu dana yang ditebus semula kononnya daripada pelaburan yang telah dibuat adalah pinjaman yang diperoleh daripada Deutsche Bank, sebaliknya pihaknya telah diberikan taklimat transaksi pelaburan sah.

Saksi ke-13 itu mendakwa beliau hanya mengetahui tentang perkara itu pada  2018 apabila penyelengan dana 1MDB mula disiasat pihak berkuasa.

Muhammad Shafee turut menunjukkan carta aliran wang yang memperlihatkan tujuh kitaran jejak wang dengan rata-rata adalah pinjaman sebanyak AS$975 juta daripada Deutsche Bank.

Ia ditunjukkan bagi membuktikan ada dana dikembalikan kepada 1MDB sebagai pelaburan.

Wang dipinjam oleh 1MDB masing-masing berjumlah AS$223.33 juta dan AS$457.98 juta dipindahkan ke dalam Aabar Investments PJS Ltd melalui beberapa transaksi.

Antaranya kepada syarikat Lambasa Global Opportunity Fund, Bridge Global Absolute Return Fund SPC, Brazen Sky, 1MDB Global Investments Ltd dan Universal Ventures Fund SCC tetapi pada masa sama sejumlah besar dikembalikan Aabar Investments PJS Ltd.

Akaun Aabar Investment PJS Limited yang didaftarkan di Seychelles merupakan akaun palsu.

Prosiding akan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast