Kesesakan di KLIA pada 3 April lalu bukan kerana kaunter terhad tetapi kegagalan pelawat asing mengisi borang pengembara dalam aplikasi Mysejahtera, kata JIM hari ini. Gambar Ihsan JIM Putrajaya

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini  menafikan dakwaan hanya membuka tiga kaunter untuk beroperasi pada 3 April lalu sehingga menyebabkan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas sempadan negara dibuka semula.

Dalam satu kenyataan, pihaknya memaklumkan sepanjang tempoh terbabit sebanyak 26 kaunter telah dibuka selain kaunter pintu automatik beroperasi sepenuhnya.

“Kesesakan itu sebenarnya berlaku disebabkan terdapat dalam kalangan pelawat asing yang tidak melengkapkan borang traveller form di dalam sistem aplikasi MySejahtera.

“Mereka terpaksa dibantu oleh para pegawai Imigresen di lapangan dan keadaan ini yang sebenarnya telah menyebabkan kelewatan dan kesesakan di kaunter KLIA,” kata JIM dalam kenyataan yang sama.

Kenyataan itu bagi memberi penjelasan kepada dakwaan tular dakwaan pihak tertentu bahawa hanya tiga kaunter JIM berfungsi di KLIA.

Selain itu, tambah kenyataan JIM lagi, pada hari yang sama juga  terdapat jemaah umrah daripada Indonesia yang transit di KLIA dan kehadiran mereka tanpa pihak pengurusan yang mengendalikannya juga secara tidak langsung telah menyumbang kepada berlakunya kesesakan.

JIM bagaimanapun menegaskan kesesakan itu akhirnya berjaya ditangani secara efektif dengan kerjasama daripada semua pihak di KLIA terutamanya Kementerian Kesihatan, Malaysia Airports Holdings Berhad dan syarikat penerbangan.

“Sebagai agensi barisan hadapan di Pintu Masuk Negara, JIM akan terus memberikan komitmen terbaik dan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan urusan keluar masuk pelancong dan pelabur asing serta warga tempatan berjalan lancar,” tegas JIM. – MalaysiaGazette