Orang ramai tidak melepaskan peluang berbuka puasa bersama keluarga dan rakan di Dataran Merdeka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2021.

BULAN Ramadan merupakan waktu terbaik untuk umat Islam melaksanakan amal ibadah kerana telah dijanjikan oleh Allah Taala akan keberkatan dan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sayugia, ibadah puasa di bulan Ramadan merupakan tunjang amalan ketiga dalam Rukun Islam dan semua umat Islam tidak kira usia perlu sedar kewajipan untuk menunaikannya termasuklah golongan anak-anak kecil.

Alim ulamak menyebutkan bahawa walaupun kanak-kanak masih belum mukallaf iaitu diwajibkan melaksanakan syariat, namun ibadah berpuasa oleh mereka adalah dianggap sebagai suatu bentuk latihan. Ibnu Battol Rahimahullah berkata, “Para ulama sepakat bahawa amal ibadah dan pelbagai kewajiban lain tidaklah wajib kecuali jika seseorang sudah baligh. Namun majoriti ulama menganjurkan agar anak dilatih berpuasa dan melakukan ibadah supaya nantinya mereka tidak meninggalkannya, dan terbiasa serta mudah melakukannya ketika sudah dihukumkan wajib kelak.”

Pernyataan ini jelas memberi isyarat bahawa ibadah puasa perlu dididik dan dilatih dalam kalangan anak-anak kecil. Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan bahawa anak-anak seawal usia empat atau lima tahun belajar untuk menghayati kelebihan berpuasa di bulan Ramadan ini. Anak-anak kecil ini perlu didedahkan tentang ibadah berpuasa ini serta fadilatnya. Asasnya, anak-anak perlu tahu bahawa puasa bererti menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai daripada terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.

Imam al-Bukhari ada meriwayatkan daripada al-Rubaiyyi’ Binti Mu’awwiz bahawa wanita-wanita Ansar pada zamannya, akan berpuasa dan mendidik anak-anak kecil mereka untuk turut berpuasa. Apabila anak-anak mereka menangis kerana lapar, maka mereka akan memberikan sejenis permainan untuk anak-anak itu lalai bermain dengannya sehingga tibalah waktu untuk berbuka puasa. Inilah bukti bahawa umat Islam sejak dahulu lagi telah berusaha sebaiknya untuk mendidik anak-anak menjalani dan melazimi ibadah berpuasa di bulan Ramadan ini.

Dinasihatkan supaya sebelum melatih anak berpuasa, ibu bapa perlu mengajarkan mereka akan perkara-perkara asas tentang ibadah berpuasa seperti niat, tempoh berpuasa, perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, perkara-perkara sunat diamalkan semasa berpuasa dan perkara yang makruh yang perlu dielakkan bagi menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Setelah anak-anak faham erti berpuasa secara fizikal, bolehlah diajak anak-anak menghayati maksud yang tersirat di sebalik ibadat berpuasa. Anak-anak boleh diterangkan bahawa dengan menahan makan dan minum pada waktu siang adalah satu bentuk penghayatan terhadap sukarnya kehidupan orang fakir dan miskin di seluruh dunia yang hidupnya sentiasa diuji Allah.

Latihan menahan nafsu makan dan minum di siang hari serta memperbanyakkan amalan mulia dan mengelakkan diri daripada kemungkaran adalah sangat besar impaknya apabila anak-anak ini meningkat dewasa kelak. Mereka tidak akan berasa canggung dan berat untuk melaksanakan bukan sahaja amalan berpuasa bahkan ibadah fardu yang lain seperti bersolat, zakat dan sebagainya. Begitu juga jiwa mereka akan terdidik untuk memperbanyakkan juga ibadah sampingan yang melengkapkan diri menjadi manusia yang soleh dan solehah.

Minda dan pemikiran anak-anak perlu jua dididik supaya tidak mentafsir bahawa bulan Ramadan ini adalah waktu yang sinonim dengan pesta bunga api dan mercun. Hindarkan mereka daripada terjebak dengan sindrom negatif sebegini yang bukan sahaja membazirkan wang malah turut membahayakan nyawa mereka. Anak-anak juga tidak seharusnya dibiarkan terlalu leka menonton televisyen, bermain permainan komputer, atau membuat aktiviti yang tidak berfaedah. Sebaliknya mereka perlu dibimbing untuk menambahkan amal ibadah yang dijanjikan ganjaran yang sangat besar oleh Allah.

Untuk melatih anak-anak berpuasa perlulah dimulakan secara berperingkat-peringkat dan berdikit-dikit. Turuti tahap kemampuan mereka seadanya seperti puasa setengah hari atau sekadar beberapa jam, atau hanya beberapa hari sepanjang bulan Ramadan. Unsur ganjaran juga boleh dipraktikkan dalam kalangan anak-anak sebagai elemen penggalak untuk mereka berpuasa. Misalannya menyediakan masakan kegemaran mereka untuk berbuka dan bersahur, pujian, memberikan hadiah, atau sejumlah ‘duit raya’ jika mereka berjaya melaksanakan ibadah puasa mengikut kemampuan masing-masing.

Ibu bapa boleh menceritakan kepada anak-anak apa perlunya berpuasa daripada konteks agama dan kesihatan agar mereka faham bahawa berpuasa adalah suatu amalan yang sangat besar kesan positifnya. Anak-anak perlu dilatih dengan rukun dan pantang larang ketika berpuasa supaya mereka bijak memelihara kesempurnaan puasa mereka. Dalam bulan Ramadan ini juga, mereka boleh diajak untuk menunaikan solat fardhu dan solat Tarawih secara berjemaah sama ada di rumah atau di masjid dan juga bertadarus al-Quran bersama-sama. Anak-anak juga boleh diasuh untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga, jiran dan masyarakat dengan menganjurkan majlis berbuka puasa, berziarah dan bersedekah.

Jika kaedah-kaedah yang disarankan ini dapat dipraktikkan kepada anak-anak sepanjang bulan Ramadan ini, adalah diyakini bahawa mereka akan menjadi bukan sahaja umat Islam yang diredhai-Nya, bahkan menjadi insan yang sempurna akhlak dan tatasusilanya. Didikan agama yang mantap sejak usia kecil sebegini pasti dapat menjamin kekentalan dan keutuhan personaliti anak-anak ini apabila usia mereka menjangkau dewasa umpama bidalan melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

 

Dr. Khairunneezam Mohd Noor,
Ketua Program, Program Pengurusan dengan Pelancongan,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast