Gambar hiasan

LAPORAN media di akhbar-akhbar tempatan seringkali memaparkan berita-berita tentang penipuan dalam talian. Lazimnya, ramai berpendapat mereka tidak akan terjebak dalam menjadi mangsa kerana merasakan mereka sudah benar-benar faham tentang selok-belok penipuan tersebut. Namun hakikatnya, berita seumpama itu masih lagi menghiasi dada-dada akhbar tempatan menunjukkan bahawa masih ramai lagi yang masih berpotensi untuk menjadi mangsa atau terjebak dalam kegiatan tidak bermoral ini.

Malah bilangan kes masih terus banyak berlaku membuktikan bahawa masyarakat masih alpa dan kurang pengetahuan tentang penipuan dalam talian ini. Terbaru, tiga lelaki telah ditahan dan berada dalam lingkungan umur 19 hingga 33 tahun. Di usia yang masih muda, masih ramai yang terpengaruh untuk mengambil langkah singkat dalam menjana pendapatan yang lumayan melalui penganiayaan terhadap orang lain.

Peranan pemangsa ini yang mencari data atau maklumat mangsa di media sosial jelas menunjukkan kelemahan yang ada pada masyarakat tempatan dalam mudahnya berkongsi maklumat diri terutamanya yang bersifat peribadi. Mungkin ramai tidak sedar, sebagai pengguna akaun media sosial yang gemar berkongsi aktiviti dan maklumat peribadi mereka, secara langsung, mereka mendedahkan diri kepada pemangsa-pemangsa yang sibuk mencari peluang dan mangsa yang berpotensi.

Sebagai contoh, perkongsian setiap tempat yang mereka sedang berada sangat mudah untuk tujuan menjejak keberadaan mereka di mana perkongsian ini juga sebenarnya boleh juga mengancam mereka dari segi keselamatan. Oleh itu, adalah penting bagi masyarakat untuk faham cara-cara mengelakkan diri daripada menjadi mangsa seterusnya melalui beberapa cadangan yang boleh diimplementasikan bagi melindungi diri daripada menyenaraikan diri dalam statistik penipuan dalam talian ini.

Pertama, pengetahuan dalam menggunakan aplikasi dalam talian terutamanya akaun media sosial adalah sangat perlu dalam menjaga maklumat peribadi dan privasi masing-masing. Aplikasi mudah alih Cyber999 umpamanya, adalah satu aplikasi agensi keselamatan yang boleh digunakan sekiranya pengguna merasakan bahawa terdapat pengggodaman atau kecurian data peribadi berlaku dalam talian.

Kedua, pelbagai tawaran menarik baik dari segi pinjaman, hadian atau cabutan bertuah yang sering muncul di telefon bimbit atau e-mel pada masa kini. Pengguna seharusnya lebih berhati-hati dalam mengenalpasti kemungkinan tawaran adalah dibuat oleh sindiket penipuan dalam talian dengan mencari informasi atau maklumat lanjut tentang pengirim tawaran tersebut melalui teman-teman dan ahli keluarga. Ini boleh mengelakkan daripada diri ditipu kerana kemungkinan ada di antara kenalan atau keluarga yang pernah ditipu atau mempunyai maklumat tentang penipuan tersebut.

Ketiga, masyarakat juga perlu tahu tentang cara pihak berkuasa yang tidak akan membuat panggilan telefon terutamanya yang melibatkan waran tangkap atau menyatakan bahawa mereka sedang disiasat. Kerajaan pada masa yang sama telah berusaha mengadakan kempen-kempen kesedaran yang menekankan tentang hal ini seperti melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) misalnya.

Yang terakhir adalah melibatkan logik akal dan kewarasan fikiran di mana nafsu boleh menjadi ukuran tindakan seseorang individu. Adalah sangat penting untuk memahami bahawa tiada sesuatu yang mudah ataupun bersifat percuma dalam menjana pendapatan terutamanya yang bersifat lumayan. Istilah ‘too good to be true’ perlu dalam menahan diri daripada terlibat dalam tawaran yang adakalanya tidak masuk akal dan mustahil dari segi pulangannya. Malah,tawaran untuk menukarkan modal yang sikit bagi pulangan yang sangat besar misalnya, terlalu indah untuk dipercayai. Secara mudahnya, pasti ramai yang mewah jika keadaan sebenarnya adalah benar-benar terjadi.

Seperti yang telah disarankan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin, PDRM sedang menjalankan pelbagai usaha di samping akaun Facebook ‘Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police’ yang telah ditubuhkan oleh kerajaan dalam memberi pendedahan kepada masyarakat tentang skim pelaburan dan penipuan dalam talian ini. Selain itu juga, satu portal telah dibangunkan oleh PDRM bagi orang awam membuat semakan nombor telefon sindiket atau akaun-akaun bank yang digunakan melalui capaian pautan CCID portal.

Kesimpulannya, kesedaran tentang penipuan dalam talian ini adalah sangat penting dan masyarakat perlu cakna dengan kegiatan sindiket ini dari semasa ke semasa terutamanya dalam mengesan modus operandinya melalui laporan-laporan media dan perkongsian maklumat bersama kenalan dan keluarga. Sudah tiba masanya bagi masyarakat untuk menunjukkan bahawa tidak ada sambutan yang akan berlaku terhadap tawaran-tawaran seumpama ini bagi menghentikan kegiatan jenayah siber.

Ini kerana sudah pasti mereka akan berhenti apabila merasakan tidak ada lagi potensi mangsa yang boleh mereka sasarkan kerana masyarakat kini berkongsi maklumat dan saling mengingatkan di antara satu sama lain serta lebih celik dan cakna tentang kegiatan tidak bermoral ini.

Oleh: Dr Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan
Program Komunikasi
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)