Empat orang penyelam warga asing dipercayai hilang semasa melakukan aktiviti latihan di Pulau Tokong Sanggol, Mersing tengah hari tadi.

MERSING – Empat orang penyelam warga asing dipercayai hilang semasa melakukan aktiviti latihan di Pulau Tokong Sanggol, Mersing tengah hari tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kira-kira pukul 2.35 petang tadi mengenai kejadian itu.

Kesemua mangsa melakukan latihan selaman sekitar jam 12 tengah hari.

Mangsa yang terdiri daripada dua orang lelaki warga Britain berumur 14 tahun dan 46 tahun, seorang wanita warga Perancis berumur 18 tahun dan seorang wanita warga Norway berumur 35 tahun.

Op Carilamat telah diaktifkan pukul  2.45 petang dengan melibatkan aset daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia.

Keluasan pencarian dianggarkan seluas 21.45 batu nautika persegi. – MalaysiaGazette