Mohd Hairul Anuar Bohro

JOHOR BAHRU – Tiga stesen minyak di negeri ini sedang disiasat kerana membenarkan kereta yang didaftarkan di Singapura membeli petrol RON95 di premis mereka.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, pihaknya telah menerima tujuh aduan berkaitan dakwaan itu setakat ini.

”Daripada tujuh aduan, tiga dalam siasatan. Kita akan siasat dan lihat dengan pelbagai cara, termasuk kamera litar tertutup dan akan teruskan pemantauan dan pemeriksaan lebih lanjut.

“Kita akan ambil tindakan tegas,” katanya selepas membuat pantauan OP Pantau di stesen minyak dekat Skudai hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Hairul meminta orang awam yang membuat aduan supaya mengemukakan dengan jelas lokasi premis untuk siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti itu boleh meyalurkan maklumat lengkap berserta lokasi premis serta tarikh dan masa kepada KPDNHEPmenerusi e-aduan KPDNHEP di http://eaduan.kpdnhep.gov.my, WhatsApp di talian 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

Sejak pembukaan sempadan Malaysia Singapura Jumaat lalu, beberapa video dan gambar warga Singapura mengisi minyak RON95 di Johor Bahru tular di media sosial.

Beliau turut mengingatkan semua pengusaha stesen minyak tidak menjual sewenang-wenangnya petrol RON95 kepada kenderaan asing atau yang berdaftar menggunakan plat Singapura.

Mohd Hairul Anuar Bohro mengingatkan, ini kerana pengusaha yang tidak bertanggungjawab bakal berdepan dengan tindakan saman dan bukannya pemandu.

”Tindakan hanya dikenakan kepada pengusaha stesen bukan kepada pemilik kenderaan kerana fokus undang-undang ke atas pemilik stesen minyak.

“Sebab itu penting pengusaha melaksanakan kawalan sendiri,” katanya sambil meminta semua pengusaha stesen minyak mengeluarkan peraturan yang jelas supaya petrol bersubsidi tidak dibeli oleh pemilik kenderaan asing.

KPDNHEP telah mengarahkan semua negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand mempergiat pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).

Akta itu memperuntukkan penalti tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali terhadap individu manakala perbadanan atau syarikat berdepan denda tidak melebihi RM2 juta. – MalaysiaGazette