Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang penghantar makanan kerana terlibat mencabul seorang wanita di kawasan parkir sebuah pusat komersial Tamarind Square di Cyberjaya, semalam.

Suspek berusia 20 tahun itu dicekup di Taman Putra Perdana, Puchong pukul 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, kata Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof yang mengesahkan tangkapan itu berkata,  suspek mengaku melakukan perkara itu selepas siasatan dilakukan terhadapnya.

“Hasil semakan rakaman CCTV (kamera litar tertutup didapati suspek sampai di kawasan Tamarind Square pada jam lebih kurang 1.57 tengah hari dengan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda 115 ZR warna merah.

“Suspek telah parkir motosikal di tempat parkir tingkat bawah Tamarind Square dan berjalan kaki menghala ke kaki lima bangunan itu.

“Hasil maklumat yang diperoleh, didapati suspek adalah seorang penghantar makanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat  anggota polis telah pergi ke alamat tempat suspek berada dan  menangkap serta merampas barang kes yang digunakan semasa kejadian.

Terdahulu, Wan Kamarul memaklumkan pihaknya sedang memburu suspek kerana mencabul seorang pembantu peribadi berusia 27 tahun di lokasi tersebut.

Ketika kejadian, mangsa telah disapa seorang lelaki kononnya mahu membantunya menyimpan barang ke dalam kereta di parkir pusat komersial tersebut, selain mahukan troli yang digunakan wanita itu.

Bagaimanapun wanita berkenaan menolak bantuan tersebut namun lelaki itu tetap mengambil barang pengadu serta memasukkan dalam kereta.

Semasa itu, secara tiba-tiba suspek bertindak menyentuh serta meramas punggung pengadu sebelum melarikan diri.

Berdasarkan aduan, mangsa memberitahu, suspek berpakaian serba hitam, menyandang bag sling warna hitam, dengan rambut dan kulit berwarna gelap.

Suspek dipercayai berkulit gelap dan bermata juling.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. – MalaysiaGazette

Wanita dicabul lelaki bermata juling