Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memartabatkan Bahasa Melayu perlu disokong semua pihak.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, Bahasa Melayu adalah bahasa rumpun di mana dialek dan lenggoknya berubah mengikut negara.

Menurutnya, semua pihak perlu mempertahankan Perdana Menteri agar Malaysia kembali menjadi peneraju kepada negara-negara di ASEAN.

“Perdana Menteri telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu itu di peringkat antarabangsa.

“Ketika lawatan beliau ke Indonesia baru-baru ini, perkara sama turut dinyatakan kepada Presiden Indonesia.

“Menteri Indonesia menyangkal cadangan Perdana Menteri kita dan menyatakan bahawa Bahasa Indonesia perlu menjadi bahasa teras,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, perbezaan pandangan oleh menteri pendidikan Indonesia itu bukan satu halangan untuk mengangkat kedudukan Bahasa Melayu.

Ini kerana katanya, jika diikutkan logik, bahasa Indonesia juga bukan Bahasa Melayu.

“Apakah sebelum wujudnya Republik Indonesia mereka di sana tidak berbahasa? Dialek dan penggunaan kata mungkin berbeza, tetapi objektif memperkasa Bahasa Melayu perlu menjadi teras.

“DPIM mengajak semua pihak mempertahankan Perdana Menteri agar Malaysia kembali menjadi peneraju negara-negara di ASEAN.

“Cadangan yang datangnya dari Malaysia seharusnya didokong oleh semua pihak demi mengangkat martabat Bahasa Melayu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast