Michael Chong job scam syndicates Cambodia hostage
Michael Chong

KUALA LUMPUR – Dua lelaki hari ini mendedahkan bahawa mereka merupakan antara puluhan warga Malaysia yang dijadikan tahanan sindiket penipuan antarabangsa untuk dijadikan sebagai scammer di Kemboja.

Mereka yang ditahan oleh dua sindiket penipuan itu membuat pendedahan berkenaan menerusi panggilan video dengan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.

Salah seorang daripada mangsa mendakwa sehingga kini lebih 50 rakyat Malaysia dikurung oleh pelbagai kumpulan sindiket penipuan di negara tersebut.

Salah seorang lagi mangsa mendakwa, kini seramai 13 orang rakyat Malaysia yang mana seorang daripadanya wanita dikurung oleh salah satu kumpulan sindiket di Kemboja.

Jelas beliau yang berada di Kemboja kira-kira enam bulan lalu selepas ditawarkan bekerja sebagai operator telekomunikasi berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah menawarkan gaji umayan kepada rakyat Malaysia.

“Kami masuk ke sini (Kemboja) melalui jalan tikus, walaupun pada mulanya dijanjikan akan ada permit dan akan menaiki kapal terbang.

“Kalau ikut keseluruhan ada lebih kurang 29 mangsa di sini dari negara lain juga. Seramai 13 dari Malaysia. Kalau tak dalat tipu orang mereka masukkan dalam bilik dan tidak diberi makanan,” katanya kepada Michael tanpa mendedahkan nama dan umur.

Bukan sahaja menjadi tahanan, kedua-dua lelaki berkenaan mendakwa dipukul, tidak diberi makanan sekiranya tidak mencapai sasaran yang ditetapkan sindiket penipuan itu.

Malah lebih buruk lagi, salah seorang daripada tahanan yang dihubungi Michael turut mendakwa sindiket tersebut mengugut untuk merogol satu-satunya tahanan wanita.

Mengulas lanjut, mangsa mendakwa kawalan ketat sindiket berkenaan menyebabkan rakyat Malaysia tidak dapat melarikan diri.

“Bagaimana mahu lari kami di sini dikawal ketat hari-hari ada orang jaga, tidak boleh lari ke Kedutaan Malaysia, lagipun kami tidak ada permit kerja, ini menjadi kesalahan di sini,” tambahnya.

Justeru mereka yang menjadi mangsa di negara itu berbulan-bulan lamanya mengharapkan agar pihak berkuasa menyelamatkan mereka dengan segera.

Sementara itu, Michael berharap agar pihak polis dapat menyiasat perkara tersebut,  sekali gus bertindak menyelamatkan rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan.

“Saya semalam ada jumpa Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani) dan beliau memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah ini,” ujarnya

Sementara, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA itu menasihatkan golongan belia, tidak mudah tertipu dengan tawaran kerja di luar negara yang tidak mempunyai prosedur yang jelas.

“Semak dulu tawaran kerja yang diberikan sama ada benar wujud syarikat yang menawarkan kerja itu atau sebaliknya,” ujarnya.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan menerima enam laporan berkaitan warga Malaysia menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang, yang dieksploitasi sebagai buruh paksa di beberapa negara antara 2021 hingga Mac lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, laporan itu melibatkan 26 mangsa terdiri daripada 24 lelaki dan dua wanita yang diperdaya dan dieksploitasi untuk bekerja di Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja.-MalaysiaGazette