Foto: Facebook

KUALA TERENGGANU – Dua lelaki yang maut ditembak polis di Kampung Simpang Tokku di sini Selasa lepas, merupakan suspek utama satu kes bunuh dan anggota sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di negeri ini sejak 10 tahun lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, polis telah mengenal pasti identiti kedua-dua suspek yang ditembak iaitu lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Nuar Taman’ berusia 29 tahun berasal dari daerah ini, manakala seorang lagi ‘Pendi Buaya’  berusia 25 tahun dari Marang.

“Seorang suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala seorang lagi mempunyai 11 rekod jenayah lampau juga berkaitan dadah…mereka ini memang terkenal dalam kalangan penagih dadah di negeri ini termasuk di kawasan Felda,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Terengganu dan  Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.

Bekas KJSJ negeri, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Latihan/Peperiksaan/Kompetensi) Bahagian Latihan Jabatan Pengurusan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, manakala bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Suffian Sulaiman dilantik menggantikan tempat Marzukhi.

Menurut Rohaimi, dengan tertumpasnya kedua-dua penjenayah terbabit, polis berjaya menyelesaikan kes seorang lelaki berusia 41 tahun yang ditembak mati di tepi jalan Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu pada 5 Mac lepas.

“Berdasarkan siasatan polis, mereka berdua ini adalah suspek terlibat dalam kes tembak (di Pasir Tinggi) tersebut,”  katanya.

Katanya lagi, selepas kejadian tembak-menembak antara Nuar Taman dan Pendi Buaya dengan polis Selasa lepas, pihaknya merampas dua pucuk revolver .38 dan beberapa butir peluru di dalam kereta yang digunakan suspek.

“Polis juga menjumpai 20 peket plastik dadah disyaki syabu berat lebih 1,000 gram dan 14 botol kecil heroin berat lebih 67 gram, dan jumlah keseluruhan dadah ini membawa kepada kes 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Sementara itu, Rohaimi berkata pihaknya juga telah mengarahkan semua ketua polis daerah untuk melakukan pemantauan terhadap penjualan mercun dan bunga api di daerah masing-masing bagi memastikan hanya jenis tertentu yang dibenarkan dijual kepada orang ramai.

“Penjualan kepada individu di bawah 18 tahun adalah satu kesalahan. Pemantauan akan dilaksanakan kerana kita tidak mahu ada insiden kecederaan atau kehilangan nyawa disebabkan kebakaran (mercun dan bunga api) – Bernama