Polis Diraja Malaysia hari ini menafikan dakwaan wujud kegiatan menculik kanak-kanak ke negara jiran untuk dibunuh dan menjual organ seperti tular di media sosial- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) yang akan dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menghalang warga Singapura yang mempunyai tunggakan saman kesalahan trafik daripada meninggalkan Malaysia selagi ia tidak dilunaskan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Komisioner Datuk Mat Kasim Karim berkata, pihaknya sentiasa mengadakan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) bagi mengambil tindakan terhadap pesalah trafik warga Singapura.

Katanya, kegagalan polis untuk menyampaikan notis saman kepada warga Singapura berikutan tidak mempunyai alamat pesalah trafik menyumbang kepada masalah saman tertunggak yang tidak dilunaskan itu.

“Jumlah notis saman Pol. 170A yang termasuk dalam kategori ini berjumlah 108,757 saman (75.8%) dari jumlah keseluruhan saman yang tertunggak selain kemungkinan terdapat kenderaan-kenderaan yang telah dikeluarkan saman oleh PDRM telah dilupuskan apabila sampai tempohnya, iaitu lima tahun berdasarkan undang-undang yang berkuatkuasa di Singapura,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mat Kasim, pelaksanaan pendaftaran kenderaan warga Singapura oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalu RC dan VEP akan membolehkan polis mendapatkan maklumat pesalah trafik yang mana notis pemberitahuan kesalahan trafik yang dikeluarkan secara tidak bersemuka sewaktu kesalahan dilakukan dapat disampaikan kepada pesalah trafik menerusi pos.

Tambah beliau, sistem berkenaan akan mengimbas nombor pendaftaran kenderaan Singapura yang memasuki sempadan Malaysia serta mempaparkan jumlah saman yang tertunggak.

Jelasnya, bagi warga Singapura yang mempunyai saman tertunggak mereka akan dihalang keluar dari Malaysia sehingga semua saman dijelaskan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 24 (4) Akta Polis 1967 dan Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Mat Kasim memberitahu, jumlah saman trafik bagi warganegara Singapura yang masih belum dijelaskan adalah berjumlah 108,757 saman (75.9 peratus) berbanding 143,427 saman yang dikeluarkan untuk tempoh antara 2016 hingga 2021.

Pecahan peratusan penyelesaian saman berbanding saman yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia.

Tambah beliau, lima kesalahan utama trafik yang kerap dilakukan warga Singapura bagi tempoh tersebut ialah pandu melebihi had laju (7,386 saman), kesalahan potong barisan  (3,952), abai isyarat lalu lintas (1,387 saman), tidak memakai tali pinggang keledar (1,327) dan tidak mematuhi lampu isyarat (765).

Antara kesalahan lain, ialah nombor plet tidak ikut peraturan, kemalangan, halangan lalulintas dan lampu brek.

Dalam pada itu, Mat Kasim berkata, sejak pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu, untuk tempoh empat hari pertama, sebanyak tujuh saman secara bersemuka telah dikeluarkan dan hanya satu saman telah dijelaskan.

Ditanya tentang keengganan warga Singapura yang enggan menjelaskan saman trafik, beliau menjelaskan, pihaknya boleh menahan mereka yang mempunyai notis kesalahan trafik (Pol. 170) dan notis pemberitahuan kesalahan trafik yang dikeluarkan ketika kesalahan dilakukan (Pol. 257) dengan menetapkan tarikh perbicaraan terhadap pesalah berkenaan dan sekiranya gagal hadir maka waran tangkap akan dikeluarkan.

“Penukaran status saman ini dilakukan berdasarkan Sek. 115(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sehubungan itu, pesalah trafik berkenaan mempunyai pilihan sama ada menghadapi tuduhan berkenaan di mahkamah atau menjelaskan saman berkenaan sebelum meninggalkan negara ini ataupun sebelum tarikh perbicaraan berkenaan.

“JSPT ingin mengingatkan kepada semua pesalah trafik warganegara Singapura bahawa mereka boleh dihalang keluar dari negara ini sekiranya mempunyai saman tertunggak sama ada Pol. 170A atau Pol. 257 berdasarkan di bawah Sek. 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Sek. 24(4) Akta Polis 1967.

“Jika pesalah trafik berkenaan mempunyai saman berstatus waran tangkap, PDRM akan menangkap pesalah trafik berkenaan dan dituduh di mahkamah dalam tempoh yang segera dan sekiranya tidak dapat dituduh pada hari yang sama, pesalah trafik berkenaan akan ditahan sekiranya tidak dapat mengemukakan penjamin di kalangan warganegara Malaysia, sebelum dituduh keesokkan hari,” katanya. – MalaysiaGazette