Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis sedang mencari dua penunggang motosikal bagi membantu siasatan berhubung satu kemalangan jalan raya membabitkan empat kenderaan di Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner, Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihak telah terkesan tularnya satu video berdurasi 1 minit dari Sukan Star TV berkaitan kemalangan di Jalan 42, Selayang Baru berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Selayang Baru yang melibatkan 3 buah motosikal dan dua buah kereta semalam.

“Kemalangan ini dipercayai berlaku semasa pemandu Suzuki Swift iaitu seorang lelaki warga emas berusia 79 tahun meninggalkan Sekolah Menengah Kebangsaan Selayang Baru menghala ke Selayang Prima setelah selesai mengambil cucunya dari sekolah itu.

“Apabila sampai di tempat kejadian kereta pemandu jenis Suzuki Swift dipercayai hilang kawalan dan telah melanggar sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan tiga buah motosikal yang berada di hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, akibat daripada kemalangan tersebut penunggang dan pembonceng motosikal telah mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki.

Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan dirawat di Hospital Selayang.

“Pemandu kereta jenis Suzuki Swift dan Perodua Bezza tidak mengalami sebarang
kecederaan dalam insiden itu.

“Dalam insiden tersebut juga, pihak polis sedang mengesan dua lagi penunggang
motosikal yang terlibat dalam insiden sama yang didapati masih belum membuat laporan polis mengenai kejadian itu,” katanya.

Katanya, polis juga telah membuat pemeriksaan di Hospital Selayang sebelum mendapati tiada mangsa berkaitan kemalangan itu mendapatkan rawatan di hospital terbabit.

“Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 43 (1) APJ 1987 sementara orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta untuk tampil membantu siasatan Polis,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Insp Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556 atau 03-61262222. -MalaysiaGazette