Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menafikan pihak berkuasa itu tidak mengambil tindakan dalam insiden seorang wanita dipukul bekas teman lelakinya ketika mereka sedang bertengkar.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pada jam 5 petang semalam, pihaknya telah terkesan satu posting pada akaun Instagram yang mana pemilik akaun berkaitan mendakwa polis tidak mengambil tindakan terhadap kes pukul yang membabitkan seorang wanita.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu pada 27 Mac lalu dan mangsa dalam aduan itu menyatakan bahawa berlaku pertengkaran dan pergelutan di antara beliau dan bekas teman lelakinya yang sebenarnya sudah beristeri.

“Siasatan mendapati punca kejadian adalah apabila bekas teman lelaki mangsa telah insaf dan ingin bersama keluarganya yang menyebabkan keputusan itu sukar untuk diterima oleh pengadu wanita itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, polis telah membuka kertas siasatan dalam kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan cedera.

Menurut Asmadi, siasatan lanjut diteruskan dengan mengambil keterangan saksi-saksi yang terlibat dalam insiden tersebut selain mendapatkan laporan perubatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden tersebut diminta menghubungi Hotline Polis Putrajaya di talian 03-8886 2145, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette