Onn Hafiz Ghazi

MERSING – Kerajaan negeri Johor akan memaklumkan kepada kedutaan British, Perancis dan Norway mengenai status operasi pencarian empat penyelam warga asing yang hilang di Pulau Tokong Sanggol.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Ops Carilamat yang melibatkan 90 anggota dan pegawai pelbagai agensi termasuk 30 penyelam dan 18 aset bermula jam 7 pagi tadi.

Beliau berkata, kawasan pencarian kini meliputi 107 batu nautika radius.

“Kepada keluarga yang  terkesan dengan tragedi ini, kami akan lakukan apa sahaja untuk mencari mereka dan kami akan melakukan yang terbaik untuk mencari mereka secepat mungkin,” katanya di sini hari ini.

Semalam, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing.

Mangsa terdiri daripada remaja lelaki warga Britain berusia 14 tahun, lelaki warga Britain berusia 46 tahun, wanita warga Perancis berusia 18 tahun dan wanita warga Norway berusia 35 tahun.

Sementara itu, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di atas kurniaan baginda meminjamkan dua bot milik baginda untuk Op Carilamat. – MalaysiaGazette