Foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu

KUALA TERENGGANU – Seorang tekong bot nelayan dikhuatiri lemas di laut selepas bot dinaiki bersama dua lagi awak-awak karam di perairan Pulau Kapas tengah hari, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, dalam kejadian pada kira-kira 12.30 tengah hari, di kedudukan lapan batu nautika, Pulau Kapas, kedua-dua awak-awak itu bagaimanapun berjaya diselamatkan.

“Seorang lagi mangsa, Wan Mustapha Ayob berusia 62 tahun masih hilang. Usaha mengesan dan mencari mangsa diteruskan hari ini dengan bantuan nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

“KM Redang diatur gerak sejurus Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima maklumat bot nelayan tempatan kelas B dengan nombor pendaftaran TRF 1027 dilaporkan tenggelam di sekitar Pulau Kapas oleh pengadu,” katanya.

Menurut beliau, ketika kejadian ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia 48 hingga 62 tahun itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dan maklumat diterima dari Maritim Terengganu bahawa kedua-dua mangsa terselamat kerana memakai jaket keselamatan.

Katanya, Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk  melaporkan sebarang maklumat kecemasan dan salah laku di talian MERS 999 atau 09-6223657 Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu. – Bernama