Home Nasional 8 individu termasuk eksekutif GLC ditahan kes rasuah RM2.3 bilion

8 individu termasuk eksekutif GLC ditahan kes rasuah RM2.3 bilion

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai lebih RM2.3 bilion.

Permohonan reman terhadap kesemua suspek berusia antara 35 hingga 45 tahun tersebut masing-masing dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.

Di Putrajaya, permohonan reman selama empat hari terhadap dua individu dan lima hari terhadap empat individu dibenarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak, permohonan reman selama lima hari dan dua hari terhadap dua individu dibenarkan oleh Majistret Zubaidah Sharkawi.

Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada jawatan ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi, pegawai eksekutif, pengarah dan pemilik syarikat terbabit dipercayai terlibat dalam perlakuan rasuah dalam projek-projek milik sebuah GLC dengan anggaran nilai kontrak keseluruhan melebihi RM2.3 bilion antara tahun 2017 hingga 2021.

Katanya, kesemuanya ditahan di Ibu Pejabat SPRM dan SPRM Sarawak antara 1.30 petang semalam hingga 12.30 tengah malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

Tambahnya, susulan daripada penahanan tersebut, beberapa sitaan telah dilakukan antaranya melibatkan 10 buah kenderaan mewah pelbagai jenama, pelbagai mata wang tunai melebihi RM27,000, lebih 50 barang kemas pelbagai jenis termasuk gold bar, 15 jam tangan mewah pelbagai jenama, 13 beg tangan mewah pelbagai jenama serta membekukan 12 akaun syarikat dan individu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast