KUALA LUMPUR – AmBank Islamic Berhad (AmBank Islamic) kini menawarkan perkhidmatan transaksi Lembaga Tabung Haji (TH) secara dalam talian menerusi aplikasi AmOnline.

Pelanggan AmBank/ AmBank Islamic yang memiliki akaun TH kini dapat melaksanakan sebarang urusan dalam talian pada bila-bila masa.

Menerusi kerjasama ini juga, pendeposit boleh membuat pindahan simpanan antara akaun AmBank/AmBank Islamic dan akaun TH, membuat pertanyaan baki akaun, serta mendapatkan penyata akaun TH.

Selain itu, perkhidmatan pendaftaran haji serta semakan status pendaftaran haji juga boleh dilaksanakan menerusi aplikasi dalam talian ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, kerjasama strategik ini pastinya akan meningkatkan lagi akses perkhidmatan TH seluruh negara.

Penggunaan saluran dalam talian terbukti mendapat sambutan baik oleh para pendeposit TH apabila rekod menunjukkan lebih 80 peratus transaksi TH telah dilakukan dalam talian meliputi portal THiJARI, mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) serta perbankan internet bank-bank rakan strategik TH yang lain sebelum ini yang mana hanya 20 peratus transaksi dilakukan di kaunter.

”Dengan penyertaan AmBank Islamic sebagai Rakan Strategik terbaharu TH, pastinya urusan perbankan akan lebih memudahkan kedua-dua para pelanggan TH dan AmBank/AmBank Islamic sendiri,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, kerjasama strategik ini merupakan inisiatif penting bagi AmBank Islamic dalam pelan digital untuk mempromosikan pelbagai tawaran perkhidmatan dalam talian kepada pelanggan dan rakan kongsi.

Menurut beliau, kKerjasama strategik ini berpotensi untuk memberi manfaat kepada 200,000 pengguna AmOnline yang  memiliki akaun TH yang kini boleh mengakses akaun TH mereka mulai 20 Disember tahun lalu.

Bersempena dengan kerjasama ini, TH dan AmBank Islamic melancarkan kempen “Dah Link TH & AmBank?” kepada semua pelanggannya dengan menawarkan cabutan bertuah berupa hadiah menarik seperti Pakej Umrah, Gold Bar, iPhone, Tablet, Thermomix dan lain-lain, tertakluk kepada terma dan syarat.

Kempen ini bermula pada 1 April sehingga 30 Jun 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast