nasi kandar Ipoh helicopter Ebit Lew sexual harassment Abd Jalil Hassan CCID commercial crime online gambling syndicates Op Dadu Khas
Abd Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Satu insiden kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan yang berlaku 12 tahun lalu menjadi misteri dan polis sukar mendapatkan suspek.

Bagaimanapun, bagai cahaya di hujung terowong – penjenayah kes tersebut akhirnya berjaya dibongkar menerusi data DNA yang berjaya membantu polis menyelesaikan kes yang siasatannya buntu lebih sedekad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pada 7 April lalu,  lebih kurang pukul 3.30 petang, suspek lelaki bagi kes rogol berkenaan berjaya dicekup di Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Dengan perolehan hasil data DNA, pasukan JSJ Bukit Aman telah menangkap seorang lelaki berusia 40 tahun disyaki suspek yang dikehendaki dalam kes rogol itu.

“Suspek berjaya ditahan diladang ternakan kambing bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan berumur 15 tahun yang berlaku di sebuah Bengkel Sungai Pinang Balik Pulau pada 12 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Abd Jalil, siasatan saintifik yang menggunakan data DNA telah berjaya mengenal pasti identiti suspek  tersebut.

“Sejurus selepas memperoleh penemuan data DNA milik suspek, satu operasi dilancarkan serta merta sebelum berjaya mengesan dan mencekup suspek tersebut.

“Suspek  kini direman selama enam hari bermula hari ini hingga 13 April ini di Ibupejabat Polis Daerah Barat Daya Pulau Pinang untuk membantu melengkapkan siasatan.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” tegasnya.- MalaysiaGazette