Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak akan memfailkan permohonan agar dirinya diwakili Queen’s Counsel (QC) pada pendengaran rayuan akhirnya berhubung hukuman kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) pada Mei ini di Mahkamah Tinggi.

Untuk makluman, Queen’s Counsel adalah peguam kanan yang paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, keputusan itu disahkan selepas pengurusan kes di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Putrajaya secara dalam talian petang tadi.

Pembelaan dijangka akan memfailkan permohonan itu pada penghujung bulan Mei dan jika perlu akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan sekiranya permohonan itu tidak berjaya.

“Pendengaran rayuan hanya akan ditetapkan selepas permohonan mendapatkan QC di putuskan mahkamah,” katanya kepada media.

Pada awal tahun ini, Najib dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Surat itu telah diutuskan oleh peguam yang mewakili beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Permohonan itu dibuat memandangkan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang sangat kompleks serta membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu bukan saja dalam bidang kuasa negara ini malah di negara Komanwel itu sendiri.

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC pada 8 Disember 2021.

Mahkamah juga menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tidak ada keadaan ‘istimewa’ untuk berbuat demikian.

Antara bukti baharu yang cuba dimasukkan oleh Najib termasuklah penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan ahli perniagaan Jho Low atau Low Taek Jho bagi untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Sebelum itu, pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mensabitkan dan mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast