KPDHEP melakukan pemeriksaan teerhadap pemborong ayam di Pahang sempena Ops Pantau 2022.

KUANTAN – Sepanjang empat hari pelaksanaan Ops Pantau 2022 yang bermula 3 April lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang telah mengambil tindakan terhadap dua kes berkaitan pemborong ayam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Pahang, Normaswari Nordin berkata, kedua-dua kes berkenaan dikesan di kawasan perindustrian Padang Lalang dan Semambu di sini.

Menurut beliau, kes pertama melibatkan satu premis pemborong ayam di Kawasan Perindustrian Padang Lalang melibatkan rampasan 100 ekor ayam yang siap diproses.

Kes tersebut disiasat di bawah Perkara 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan (Ayam), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Ayam) 1996, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjalankan urus niaga ayam secara borong tanpa lesen, katanya.

Jika disabitkan kesalahan, pemilik premis boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada tiu, tindakan juga diambil ke atas premis pemborong ayam di kawasan perindustrian Semambu dan pihaknya turut mengenakan kompaun.

“Pemilik premis itu dikompaun sebanyak RM3,000 kerana dikesan melakukan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan oleh kementerian.

“Kes melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Untuk rekod, sepanjang tempoh 1 Januari 2022 sehingga kini, KPDNHEP Pahang telah membuat pemeriksaan ke atas 19,355 premis yang melibatkan pelbagai peringkat perniagaan.

Daripada jumlah ini, sebanyak 228 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM2,530 dan kompaun sebanyak RM130,900 – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast