Tertuduh, Zul Hafiqhafizi Zakaria, 25, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka

MELAKA – Padah merogol isteri rakannya sendiri yang sarat mengandung, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Zul Hafiqhafizi Zakaria, 25, selepas beliau mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didapati telah merogol seorang perempuan berusia 26 tahun kira-kira jam 4.20 pagi, di sebuah rumah di Taman Debunga, Merlimau dalam daerah Jasin pada 21 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat.

Berdasarkan fakta kes, mangsa ketika itu sedang tidur sebelum tiba-tiba didatangi tertuduh yang menutup muka menggunakan kain putih.

Tertuduh kemudian telah mengugut mangsa menggunakan pisau dan mengarahkannya yang sedang sarat mengandung tujuh bulan menanggalkan pakai sebelum memperkosanya.

Ketika kejadian suaminya tiada di rumah kerana sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar hukumannya diringankan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman berat dengan mengambil kira tertuduh mengenali suami mangsa dan tahu sedang menjalani hukuman penjara.

Tambahnya, jenayah dilakukan semasa mangsa sarat mengandung juga meninggalkan kesan trauma dan gangguan emosi sehingga mangsa malu untuk bertemu keluarga terutama suaminya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 24 Januari lalu dan dikenakan tiga sebatan. – MalaysiaGazette