KUALA LUMPUR – Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) membantah pelaksanaan kelas dan peperiksaan akhir secara fizikal yang didakwa diumumkan pada saat akhir dan dibuat secara paksaan.
Presidennya, Wan Afiq Ikhwan Wan Alias berkata, pihak universiti sepatutnya memberi pilihan dan bukannya memaksa mahasiswa yang berdepan dengan pelbagai kekangan termasuk penginapan, kos perbelanjaan dan ancaman Covid-19 di kampus.
“Universiti perlu mengambil kira pendapat pelajar sebelum membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan mereka.
“Kami membenci universiti yang mengabaikan hak pelajar untuk membiarkan suara mereka didengari, yang menyebabkan banyak kerumitan dan kesukaran dalam kalangan pelajar,” katanya pada sidang media di Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.
Wan Afiq Ikhwan berkata, penginapan tidak mencukupi susulan bilangan bilik asrama di UM terhad menyebabkan ramai pelajar tidak dapat memohon penginapan yang sesuai dalam masa singkat.
“Masalah masa turut dihadapi pelajar TAR UC dan UTAR telah dipaksa merentas negeri selama beberapa minggu demi peperiksaan fizikal,
“Tetapi tiada penginapan ditawarkan kepada mereka oleh universiti dan ia sama sekali tidak adil,” katanya.
Katanya, keputusan pulang ke kampus secara fizikal tanpa mengambil kira kebajikan pelajar yang bakal menamatkan pengajian hanya membebankan mereka dengan kos yang tinggi.
“Sekiranya pelajar tamat pengajian selepas semester ini, agak mustahil, malah tidak realistik, untuk mereka mencari tempat penginapan yang membenarkan sewa setengah semester atas nama menghadiri peperiksaan akhir,” katanya.
Selain itu, pembelajaran dalam talian lebih sesuai dilaksanakan sekarang kerana universiti didakwa masih tidak dapat mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) yang berkesan untuk mengawal penularan Covid-19.
“Pihak universiti masih tiada SOP yang jelas bagaimana mereka merancang untuk mengekalkan penjarakan sosial semasa kelas fizikal dan peperiksaan.
“Jika pelajar dijangkiti Covid-19 atau keadaan lain tidak dapat dielakkan yang menghalang pelajar daripada menghadiri kuliah atau peperiksaan secara fizikal, mereka akan ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.
Dakwanya, cadangan itu hanya membebankan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah atau B40 kerana ramai terjejas sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
“Perbelanjaan sewa dan sara hidup hanya untuk kelas fizikal kurang dua bulan tidak munasabah, khasnya bagi pelajar B40, dari Sabah dan Sarawak serta pelajar yang telah mendapat pekerjaan amali di luar negeri,” katanya.
Sehubungan itu, KMUM mendesak agar pelajar dibenarkan menjalankan kuliah dalam mod hibrid, serta menghadiri kelas fizikal secara sukarela dan bukannya paksaan.
“Pilihan itu perlu diberikan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan akhir dalam talian bagi semester ini.
“Pihak universiti juga perlu menghasilkan SOP yang komprehensif untuk mencegah penularan Covid-19 bagi mahasiswa-mahasiswi dalam kampus,” katanya. – MalaysiaGazette