Yeoh Soon Hin.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang merancang untuk mewujudkan strategi pemasaran rentas industri ‘tiga dalam satu’ bagi merangsang dan menarik permintaan sektor pelancongan negeri ini di pasaran antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, strategi itu membabitkan penerbangan, hotel dan tarikan bagi memastikan Pulau Pinang mendapat kekuatan penuh dalam tempoh pemulihannya.

Selain itu jelas beliau, Malaysia Aviation Group (MAG) juga akan mengembalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTABPP) sebagai hab pangkalan wilayah utara bagi Firefly berkuatkuasa 11 April.

“Langkah pertama yang akan kita lihat menerusi strategi tiga dalam satu ini ialah pemberian diskaun tiket penerbangan Firefly bagi pelancong yang menginap lebih daripada satu malam di hotel Pulau Pinang.

“Kita percaya menerusi strategi pemasaran ini, usaha pengiklanan dan promosi juga akan tertumpu kepada mempromosikan tarikan bagi merangsang ekonomi pelancongan di Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Soon Hin, pihaknya juga difahamkan Firefly bercadang melancarkan laluan penerbangan baharu ke negara Asia Tenggara lain, selain menghubungkan Pulau Pinang ke Sabah dan Sarawak.

Katanya, pada masa ini, penerbangan yang boleh dijangka daripada pelancaran semula itu adalah penerbangan terus dari Kota Kinabalu, Kuching dan Johor Bahru ke Pulau Pinang.

“Selama tiga bulan pertama selepas pembukaan semula sempadan Malaysia adalah tempoh keemasan bagi memulihkan industri ini.

“Agensi seperti Penang Global Tourism dan Penang Convention and Exhibition Bureau (PCEB) masing-masing sudah  memulakan pemulihan rancangan bagi pelancongan santai dan pelancongan MICE,” jelas beliau. – MalaysiaGazette