MERSING – Op Carilamat bagi mengesan seorang lagi penyelam remaja warga Belanda yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, dekat sini, Rabu lepas, ditamatkan pada pukul 1.30 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Cyril Edward Nuing berkata, ia berikutan hasil maklumat dan siasatan mendapati kedua-dua penyelam warga Britain dan Perancis yang terselamat ditemui di kedudukan 16 batu nautika dari utara Pulau Bintan, Indonesia.

Beliau berkata, kedudukan kedua-dua penyelam itu ditemui adalah kira-kira 70 batu nautika atau 100 kilometer daripada lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang.

“Daripada maklumat ini kami berpendapat usaha pencarian (kini) di kawasan (perairan) Indonesia dan operasi dihentikan sementara di perairan Malaysia.

“Rakan setugas kita di Indonesia telah maklum dan mereka akan sambung (operasi) cari di perairan Indonesia. Bagaimanapun aset-aset kita di laut sentiasa berada dalam keadaan siap siaga,” katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing di sini hari ini. – Bernama