Tiga rakan rapat yang aktif dalam jenayah samun kedai serbaneka di sekitar Cheras dan Ampang berjaya ditumpaskan polis Cheras. Ihsan IPD Cheras.

KUALA LUMPUR – Tiga rakan rapat yang bergiat aktif dalam aktiviti jenayah samun yang mensasarkan kedai serbaneka di sekitar daerah Cheras dicekup polis dalam serbuan Bandar Sri Permaisuri, di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohammad Idzam Jaafar berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat dengan kejadian samun sebuah kedai serbaneka yang di Taman Leng Seng, baru-baru ini, yang melibatkan kerugian berjumlah RM149.90.

Tiga rakan rapat yang aktif dalam jenayah samun kedai serbaneka di sekitar Cheras dan Ampang berjaya ditumpaskan polis Cheras. Ihsan IPD Cheras.

“Bertindak atas maklumat, pada 7 April kira-kira jam 8.30 malam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah membuat risikan dan tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan di sekitar kawasan perumahan Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

“Susulan dari tangkapan tersebut dan berdasarkan hasil soal siasat ke atas suspek pertama, pada jam lebih kurang 10.30 malam hari yang sama, dalam satu lagi serbuan berasingan pihak polis berjaya melakukan tangkapan ke atas dua lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek polis berjaya merampas barangan antaranya helmet, pakaian dan parang yang dipercayai digunakan ketiga-tiga suspek dalam kegiatan jenayah samun tersebut.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditangkap berusia lingkungan 21 hingga 25 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik.

Tiga rakan rapat yang aktif dalam jenayah samun kedai serbaneka di sekitar Cheras dan Ampang berjaya ditumpaskan polis Cheras. Ihsan IPD Cheras.

“Dengan penahanan ketiga-tiga suspek berkenaan, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes samun yang berlaku dalam kawasan Cheras, Kajang dan Ampang.

“Ketiga-tiga lelaki tempatan berkenaan kini telah direman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula Jumaat hingga 13 April ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun,” ujarnya. – MalaysiaGazette