Muhammad Fikri (kanan) dan Abdul Rashid Omar menunjukkan sebuah Proton Saga 1.3 AT Premium bernilai hampir RM50,000 yang boleh dimenangi pengunjung Melaka Grand Bazaar Ramadan@Jalan Hang Tuah, Melaka sepanjang Ramadan ini.

MELAKA – Hanya dengan berbelanja serendah RM30, pengunjung sebuah bazar Ramadan di sini berpeluang memenangi sebuah kereta bernilai hampir RM50,000 sepanjang bulan ini.

Itu kelainan ditawarkan penganjur Melaka Grand Ramadan Bazaar (Melgrab)@Jalan Hang Tuah di sini kepada salah seorang daripada sasaran satu juta pengunjungnya sebagai penghargaan kepada mereka.

Penganjurnya, Muhammad Fikri Mohd Ali, berkata, inisiatif itu bertujuan menghidupkan kembali bazar Ramadan di Jalan Hang Tuah yang sudah lama ‘mati’ kerana pelbagai isu sebelum ini sekaligus menyebabkan ia tidak mendapat sambutan sebelum ini.

“Sebab itu sebaik sahaja pihak kami mendapat kebenaran sebagai penganjur buat pertama kali tahun ini, kami telah ubah wajah jalan ini menjadikannya bazar pertama berkonsepkan ‘Light The City’ melibatkan modal RM100,000.

“Semua 128 khemah peniaga sepanjang 400 meter diterangi lampu LED yang dipasang pada 80 pokok untuk membangkitkan ‘mood’ pengunjung berbelanja dan melayakkan mereka menang sebuah Proton Saga 1.3 AT Premium bernilai hampir RM50,000 yang akan diadakan cabutan bertuah pada malam 24 April ini

“Maknanya tidak kisah sama ada penunjung itu berbelanja RM30 atau RM3,000, mereka akan dapat kupon cabutan dan ada peluang sama rata untuk memenangi hadiah utama ini selain hadiah bertuah lain termasuk sebuah motosikal dan barangan elektrik keseluruhan bernilai hampir RM80,000,” katanya.

Melaka Grand Bazaar Ramadan@Jalan Hang Tuah, Melaka menyasarkan satu juta pengunjung sepanjang Ramadan ini

Beliau berkata pada sidang media selepas majlis perasmian Melgrab yang disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan.

Mengulas lanjut, Muhammad Fikri berkata, pihaknya juga menyasarkan bazar berkenaan menerima satu juga pengunjung sepanjang Ramadan ini berdasarkan sambutan baik diterima 200,000 pengunjung malam tadi.

“Ini baharu minggu pertama kami sudah catat 200,000 pengunjung dan pelbagai usaha akan terus dilakukan antaranya mengadakan persembahan daripada artis terkenal negara seperti Datuk Awie, Siti Nordiana, Azlan Typewriter dan beberapa artis Akademi Fantasia.

“Harapan kami agar semua peniaga di sini pada minggu akhir Ramadan nanti mendapat untung besar selepas lebih dua tahun terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Tambahnya, selain itu, pihaknya juga menyediakan program kebajikan dikenali Ramadan Fund Raising yang mana peniaga boleh membuat sumbangan di dalam tabung berkenaan sebelum ia dibuka pada malam 24 April untuk diagihkan kepada tiga buah madrasah di Melaka. – MalaysiaGazette