SUDAH lebih dua tahun negara kita mengalami penularan Covid-19. Pada 1 April 2022, negara kita telah berpindah dari fasa pandemik kepada fasa endemik. Ramai menghembuskan nafas lega dan ada yang masih bimbang tentang virus yang masih menular di kalangan masyarakat. Meskipun negara sudah berada dalam fasa endemik, kebanyakan universiti masih melaksanakan pembelajaran atas talian.
Pelajar universiti diberi pilihan sama ada terus kekal berada di rumah ataupun pulang ke kampus. Kebanyakan mereka memilih untuk kekal berada di rumah meskipun pada awal penularan Covid-19, mereka menyatakan hasrat untuk menghadiri kelas bersemuka kerana tertekan dengan pembelajaran atas talian. Alasan mereka untuk kekal berada di rumah bukanlah kerana mereka sudah membiasakan diri dengan norma baru.
Namun hakikatnya, pembelajaran atas talian banyak memberi manfaat kepada mereka. Antaranya adalah mereka dapat lulus mata kuliah dengan mudah kerana tiada peperiksaan secara bersemuka. Mereka hanya diuji dengan penilaian berterusan.
Selain itu, mereka boleh menghadiri kelas dengan mudah dan tidak perlu pergi ke kampus. Mereka hanya perlu menggunakan sama ada komputer riba atau telefon bimbit untuk hadir ke kelas dan bebas untuk melakukan hal-hal lain tanpa memberi tumpuan sepenuhnya kepada kelas mereka.
Oleh sebab itu, pensyarah sering menghadapi masalah kurang maklum balas dan interaksi dari pelajar semasa pengajaran. Hal ini menyebabkan pensyarah sukar mengenal pasti tahap kefahaman pelajar terhadap pengajaran mereka tambahan pula peperiksaan bersemuka juga dimansuhkan sepanjang pembelajaran atas talian. Kebanyakan pelajar juga memilih untuk bekerja bagi menjana pendapatan.
Hal ini jelas menunjukkan ramai pelajar mengambil kesempatan ke atas pembelajaran atas talian walaupun hakikatnya, hal tersebut dapat menjejaskan kualiti mereka. Mereka seharusnya memikirkan tentang ilmu yang perlu diperolehi sebagai seorang pelajar universiti dan ilmu yang dapat memanfaatkan mereka ketika mereka ingin memohon pekerjaan, bukanlah hanya segulung ijazah semata-mata.
Pembelajaran atas talian sebenarnya lebih memberi kesan buruk kepada kualiti pelajar universiti. Hal ini kerana mereka tidak dapat memperolehi pelbagai kemahiran bukan hanya di dalam kuliah malah kemahiran di luar kuliah seperti menguruskan program, berkomunikasi dengan masyarakat, menyelesaikan sesuatu masalah dan sebagainya. Ini akan menyebabkan mereka mungkin menjadi kurang proaktif dan kurang kreatif setelah tamat pengajian di universiti
Selain itu, kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris juga tidak dapat diperolehi sepenuhnya sepanjang mereka menjadi pelajar universiti. Mereka seharusnya dapat berlatih bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan rakan-rakan terutamanya rakan dari luar negara serta pensyarah-pensyarah mereka. Kemahiran-kemahiran ini adalah sangat penting sebagai bekalan mereka untuk mencari pekerjaan.
Ada juga di kalangan mereka tidak pernah langsung pulang ke kampus semenjak semeseter satu. Mereka hanya berkenalan dan berkomunikasi dengan rakan-rakan dan pensyarah-pensyarah mereka dalam alam maya. Mereka sebenarnya tidak merasai dan mengalami suasana sebenar sebagai pelajar universiti. Apa yang paling membimbangkan adalah kualti mereka akan terjejas dan ini akan menyebabkan kebolehpasaran mereka juga turut terjejas. Majikan mungkin mempertikaikan kualiti pelajar era pandemik.
Dr Mohd Shahidan Shaari
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)