KUALA LUMPUR – Mencari mangsa penipuan dalam talian menerusi aplikasi TikTok, tiga lelaki tempatan diberkas menerusi serbuan di sebuah kondominium di Jalan Cendana Kampung Baru.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan dilakukan oleh pihak Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Dang Wangi bersama anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) pada jam lebih kurang 2.50 petang, semalam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati tiga lelaki berusia di antara 19 hingga 23 tahun berkenaan menjinakkan diri dalam kegiatan tersebut sejak sebulan yang lalu.

Jelasnya, ketiga-tiga lelaki itu berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan mendapatkan mangsa melalui aplikasi TikTok untuk menambah kenalan.

Mereka kemudian mewujudkan kumpulan sebelum menyerahkan senarai rakan aplikasi berkenaan kepada kepada satu kumpulan sindiket yang lain bagi tujuan penipuan secara dalam talian.

“Siasatan awal mendapati kegiatan ini telah beroperasi sebulan yang menyasarkan mangsa warganegara tempatan dan asing di luar negara,” katanya menerusi kenyataan.

Noor Dellhan berkatam ketika serbuan dilakukan pihak polis turut merampas peralatan untuk menjalankan kegiatan penipuan.

“Dalam serbuan itu juga pihak polis telah berjaya membuat rampasan iaitu 26 unit perkakas dan peralatan penipuan dalam talian iaitu 23 unit komputer riba pelbagai jenama; 21 telefon bimbit pelbagai jenama dan masing-masing seunit modem monitor komputer beserta papan kekunci juga tetikus,”tambahnya.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama tiga hari mulai 10 April 2022.-MalaysiaGazette