Azmi Rohani

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor  bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2022 sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM 1,000 kepada semua penjawat awam negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani menerusi kenyataan berkata, pemberian ini telah diputuskan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 6 April 2022.

Pemberian bantuan khas itu turut disalurkan kepada kakitangan di bawah Skim Perkhidmatan Kontrak, Kontrak Perkhidmatan, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Bantuan khas kepada kira-kira 13,400 penjawat awam negeri ini akan melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM18.81 juta.

“Pemberian bantuan khas ini adalah merupakan keprihatinan kerajaan negeri bagi meringankan beban kewangan penjawat awam negeri sempena menyambut ketibaan lebaran pada tahun ini,” katanya.

Pembayaran akan dibuat pada 28 April 2022.

Semakan kelayakan bayaran Bantuan Khas Kewangan boleh dirujuk melalui Pekeliling Perkhidmatan Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2022.-MalaysiaGazette