Azhar Zainal menyampaikan bubur lambuk

MERSING- Pertubuhan kebajikan Makmur negeri Johor Cawangan Mersing dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Mersing dan penduduk di sekitar kawasan Endau meneruskan tradisi memasak bubur lambuk secara gotong-royong untuk diedarkan kepada orang ramai pada Ramadan tahun ini.

Penganjuran julung kali ini telah disertai oleh sembilan buah kampung melibatkan kira-kira 50 orang bertempat di Kampung Semanyir.

Seawal jam 8 pagi penduduk kampung dan golongan muda telah memulakan tugas masing-masing daripada proses penyediaan sehinggalah membungkusnya.

Ironinya, program ini bukan sahaja menyaksikan sepakat  golongan muda kepada masyarakat setempat, bahkan ia juga memupuk sifat bersedekah.

“Sesungguhnya memberi makan orang yang berbuka besar ganjarannya seperti hadis Rasulullah SAW.

“Barangsiapa memberi makan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa maka baginya pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette

Menurut pengerusinya Azhar Zainal Abidin berkata, penganjuran program sebegini bukan sahaja mendekatkan golongan muda kepada masyarakat, malah memberi peluang menambah amalan pahala sempena bulan yang mulia ini.

“Ramadan tahun ni memberi peluang kepada golongan muda untuk melakukan ibadah di samping memberi pengalaman yang bermakna buat mereka”, jelas beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Mersing.

Katanya, proses pengedaran bubur lambuk ini telah dimulakan di setiap sembilan kampung dan mendapat sambutan yang meriah oleh penduduk-penduduk kampung.

Dianggarkan sebanyak 1,800 bekas bubur lambuk telah berjaya diedarkan sebelum menjelang waktu berbuka.- MalaysiaGazette