KUALA LUMPUR – Kos menunaikan ibadah haji tahun ini menerusi syarikat pengendali umrah dan haji swasta dijangka mencecah antara RM40,000 hingga RM50,000 seorang, kata Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) Datuk Seri Razali Mohd Sham.
Beliau berkata, ini berikutan kos pengurusan haji yang semakin meningkat meliputi penginapan, makanan dan pengangkutan yang perlu ditanggung jemaah.
“Dahulu kos untuk seorang jemaah haji menginap di Arafah dan Mina adalah sebanyak 1,034 Riyal (kira-kira RM1,166.44), sekarang sudah 5,433 Riyal (bersamaan kira-kira RM6,128.72),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Razali berkata, selain itu, peningkatan kos haji juga disebabkan oleh kenaikan cukai nilai tambah (VAT) yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.
“Sudah pasti bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan swasta ini perlu mengambil kira (pelbagai sudut termasuk) kedudukan hotel yang berdekatan dengan masjid dan sebagainya (yang) akan mempengaruhi kos,” katanya.
“Hotel itu ada, tapi permit atau pun lesen untuk beroperasi itu belum diluluskan lagi atas faktor COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Kalau dahulu untuk sebilik katakanlah semasa Ramadan, kita boleh dapat (harga) dalam RM18,000 hingga RM19,000, tetapi sekarang dah jadi RM25,000 sebilik disebabkan kekurangan hotel,” katanya.
Mengakui kenaikan kos menunaikan rukun Islam kelima itu akan memberi kesan kepada syarikat-syarikat pengendali umrah dan haji, Mohd Lokman bagaimanapun berkata, kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan.
“Kemungkinan (pemintaan haji daripada jemaah) akan berkurangan disebabkan kenaikan kos. Kalau jemaah sudah terpilih, sudah tentu dia akan pilih TH yang (menawarkan kos haji sebanyak) RM25,000. Nak tak nak, mesti dia kena pergi (menunaikan haji) juga.
“Berbanding dengan swasta macam kami ini, pakej (menunaikan haji) paling rendah pun dah RM53,000 atau RM55,000 (dan) rata-rata dari semua agensi paling rendah RM55,000 dan untuk pakej yang paling tinggi boleh mencecah RM270,000 dulu RM230,000,” katanya. – MalaysiaGazette