Pengarah KNDKA (PGA), YDH CP Datuk Seri Hazani Ghazali (tengah), Timbalan Pengarah KNDKA (PGA), YDH CP Datuk Muhammad Abdul Halim (kanan), Timbalan Pengarah LDNKA (PGA), YDH CP Datuk Kasuahdi Ali (kiri) dokumen serah terima tugas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Komander Bridge di Dewan Perdana Briged, Cheras. Foto MUHD NA'IM, 11 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) kini dikesan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah untuk membawa masuk dan keluar melalui jalan tidak diwartakan.

Ia menjadi modus operandi terkini sindiket penyeludup PATI ke dalam negara ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, sindiket itu kini tidak lagi menggunakan ‘laluan tikus’ sebaliknya lebih berani apabila menggunakan ‘laluan gajah’ dengan menaiki kenderaan mewah.

Beliau juga mengakui berlaku peningkatan tangkapan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasukan khas lain terhadap PATI sepanjang Ramadan kali ini.

“Minggu lalu berlaku peningkatan yang terbaru di Kelantan apabila kita menahan 13 warga Myanmar termasuklah transporter yang bertanggungjawab menyeludup masuk PATI berkenaan ke dalam negara.

“Kita mengesan kini sindiket didapati menggunakan kenderaan MPV mewah seperti Toyota Alphard dan Vellfire untuk membawa PATI dari sempadan masuk ke dalam negara secara licik,” katanya ketika ditemui di Briged Tengah PGA, Cheras hari ini.

Terdahulu Hazani menyaksikan Majlis Perbarisan dan Serah Terima Tugas Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Komander Briged Tengah PGA dan Komander Unit Tindakhas (UTK).

Dalam perkembangan sama, Hazani menambah, pihaknya sudah mempunya maklumat berhubung modus operandi yang digunakan sindiket penyeludupan PATI di negara ini.

PGA akan melakukan pemantauan serta berkongsi risikan bersama pasukan Cawangan Khas dan lain-lain kontinjen negeri.

“Justeru pencerobohan PATI masuk ke dalam negara melalui perairan negara juga masih berlaku yang kita namakan sebagai ‘laluan dugong’ (laluan laut), masuk secara perlahan-lahan dan senyap.

“Dalam melakukan aktivviti penyeludupan PATI ini umpama permainan tikus dengan kucing..datang kucing, tikus lari, kucing balik, tikus berkeliaran..mereka menanti masa sesuai dan melakukan apa sahaja.

“Ada sahaja ruang mereka akan lakukan penyeludupan masuk Pati, tetapi kita akan ambil tindakan,” katanya.-MalaysiaGazette