Dewan Rakyat Members of Parliament MP Speaker The government has agreed to advise Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah to hold the Third Term of 14th Parliament Sitting for five days from 26 until 29 July
Sidang khas Parlimen mengenai RUU Anti Lompat Parti bermula hari ini.

KUALA LUMPUR – Sidang khas Parlimen mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkaitan Akta Anti Lompat Parti bermula kira-kira jam 10 pagi ini.

Persidangan khas mengenai RUU itu masing-masing melibatkan masa satu hari bagi Dewan Rakyat hari ini dan Dewan Negara pula diadakan esok.

MalaysiaGazette dimaklumkan, sesi persidangan hari ini hanya melibatkan penggubalan punca kuasa bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Bagaimanapun, perbahasan dan undi untuk sokongan ahli Dewan Rakyat bagi akta itu akan diadakan pada mesyuarat Parlimen Julai ini.

Semalam, di Putrajaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi taklimat mengenai RUU Perlembagaan itu.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah menyampaikan taklimat berkaitan RUU tersebut selain menjawab beberapa persoalan dibangkitkan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Perdana Menteri turut menjelaskan, Jemaah Menteri pada 6 April lalu telah bersetuju dengan keperluan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu akta larangan ahli bertukar parti politik digubal.

Katanya, perincian lanjut dasar berkaitan larangan ahli bertukar parti akan dijelaskan dalam akta tersebut, memandangkan Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan perincian sedemikian.

Beliau telah berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Idrus bagi tujuan itu dan bersetuju suatu Jawatankuasa Pilihan Khas dwi-partisan yang khusus untuk memperinci Akta Anti Lompat ditubuhkan.

Kata beliau lagi, jawatankuasa itu akan disertai semua pihak berkepentingan termasuk pakar akademik, wakil pembangkang, kerajaan bagi meneliti dan menentukan dasar serta peruntukan terbaik untuk akta tersebut.

Perdana Menteri memaklumkan, RUU itu dijangka dibentangkan di Mesyuarat Kedua Parlimen Ke-14 Tahun 2022 pada Julai ini. – MalaysiaGazette