Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (kiri) menyampaikan sumbangan Aidilfitri Komuniti Kuala Lumpur 2022 kepada penerima di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 12 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan kesal ada pihak yang sengaja menimbulkan isu mengenai Pangsapuri Sungai Baru di sini sejak kebelakangan ini.

Menurut Datuk Seri Shahidan Kassim, tiada usaha daripada sebarang pihak untuk menjejaskan kehidupan penghuni pangsapuri berkenaan.

“Perkara ini ditularkan oleh orang yang seronok membaca berita sensasi, maka jadilah isu ini Saya nak terangkan yang tiada sebarang pihak cuba menjejaskan kehidupan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sumbangan Aidilfitri Komuniti Kuala Lumpur 2022 di Pusat Komuniti Sentul Perdana hari ini.

Menurut Shahidan, satu pertemuan dengan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan diadakan hari ini untuk berbincang mengenai isu tersebut.

“Saya akan berbincang dengan beliau untuk kita bagi penerangan supaya orang ramai faham tujuan pembangunan ini bagi meningkatkan kehidupan mereka.

“Mereka akan dapat rumah yang lebih besar daripada sekarang ini dan hal ini meningkatkan nilai harta mereka juga,” ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah laman portal yang menyiarkan dakwaan penduduk Pangsapuri Sungai Baru terkejut selepas menerima Borang K (notis pengosongan rumah), baru-baru ini.

Menerusi laporan itu seorang wakil penduduk memberitahu, ada antara mereka yang masih belum menerima pampasan sepenuhnya tetapi tetap diminta untuk mengosongkan rumah. – MalaysiaGazette