Pelbagai jenis dadah ditemui dalam dua serbuan berasingan di Felda Keratong pada 9 dan 10 April lalu

KUANTAN – Polis Rompin memberkas lima lelaki dan seorang wanita serta merampas pelbagai jenis dadah dalam serbuan berasingan di Felda Keratong pada 9 dan 10 April lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata,  tiga daripada individu berkenaan mempunyai rekod lampau kes dadah.

“Sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin telah menahan tiga lelaki tempatan di Felda Keratong 03, Bandar Tun Abdul Razak, Rompin, Pahang.

“Hasil pemeriksaan terhadap tiga lelaki berkenaan, telah menjumpai dadah jenis heroin seberat 20.19 gram dan dadah jenis syabu seberat 2.78 gram.

“Ketiga-tiga suspek ini mempunyai rekod lampau jenayah narkotik dan mereka juga dan telah didapati positif dadah apabila ujian air kencing dijalankan ke atas mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Manakala pada hari berikutnya, pihaknya telah menahan dan membuat pemeriksaan terhadap dua lelaki dan seorang wanita tempatan di Felda Keratong 7, Muadzam Shah.

Menurutnya hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai dadah jenis syabu seberat 21.25 gram, dadah jenis heroin seberat 101.96 gram dan pil Yaba seberat 0.41 gram.

Kes telah disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah Azahari nilai keseluruhan rampasan dadah  dalam dua serbuan tersebut berjumlah RM6,625 mengikut harga pasaran.

Azhari berkata kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 39B  dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kesemua suspek telah ditahan bagi membantu siasatan selanjutnya dan pihaknya berusaha membendung kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah Rompin. – MalaysiaGazette