Pemandu treler maut dihempap batu konkrit dibawanya dalam kejadian di Kilometer 220 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara hari ini.

TAIPING – Seorang pemandu treler maut dihempap batu konkrit dibawanya dalam satu kejadian di Kilometer 220.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.35 pagi itu, mangsa, Nor Azlan Ramli, 33, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 4.40 pagi sebelum pegawai penyiasat bergegas ke lokasi.

“Hasil siasatan mendapati mangsa yang memandu treler muatan batu konkrit itu dari Ipoh menuju ke Pulau Pinang.

Pihak bomba menggunakan khidmat kren untuk mengalihkan konkrit sebelum mengeluarkan mangsa.

“Bagaimanapun, kenderaannya tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.

“Ia sekali gus menyebabkan muatan konkrit yang dibawa mangsa itu menghempapnya dan dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan juga mendapati kenderaan mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan selain tanya kanannya pecah.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat,” kata Osman.

Sementara itu, jurucakap bomba Perak berkata, pihaknya menggunakan khidmat kren untuk mengalihkan batu konkrit tersebut bagi mengeluarkan mangsa.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira lapan minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast