Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Skuad kebangsaan, Harimau Malaya akan berdepan Myanmar pada 27 Mei 2022 dan Hong Kong pada 1 Jun 2022 bagi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bagi persiapan menjelang tiga aksi Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 dari 8 hingga 14 Jun ini.

Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon berkata, kedua-dua aksi berkenaan adalah  ujian penting untuk skuad kebangsaan bagi menilai mereka menjelang pusingan akhir kelayakan Piala Asia tersebut.

“Dua pasukan ini dilihat sebagai lawan yang bersesuaian untuk skuad Harimau Malaya mempersiapkan diri menjelang tiga perlawanan sebenar Kumpulan E bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh pada 14 Jun 2022, dalam misi Malaysia memburu slot untuk layak ke Piala Asia 2023.

“Untuk makluman, skuad Harimau Malaya akan bertemu Myanmar, yang menduduki ranking ke-152 dunia memandangkan pasukan berkenaan akan berada di Kuala Lumpur untuk kem latihan pusat sebelum mereka terbang ke Bishkek, Kyrgyzstan bagi saingan Kumpulan F membabitkan Kyrgyzstan, Tajikistan, Myanmar dan Singapura,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan dari Wisma FAM Kelana Jaya hari ini.

Sementara Hong Kong pula yang ketika ini berada di ranking ke-147 dunia akan singgah ke Kuala Lumpur untuk bertemu Malaysia sebelum mereka terbang ke Kolkata, India bagi saingan Kumpulan D membabitkan India, Hong Kong, Afghanistan dan Kemboja.

Katanya, skuad Harimau Malaya akan mula berkumpul di kem latihan pusat bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 ini pada 19 Mei ini  sejurus berakhirnya sembilan saingan Liga Super 2022 pada 18 Mei.

“Tempoh tiga minggu kem latihan pusat termasuk perlawanan pemanas badan menentang Myanmar dan Hong Kong. Ini diharap dapat memberi peluang dan ruang buat kami barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.

“Ia sangat penting untuk kami meningkatkan lagi tahap permainan, keserasian serta kombinasi para pemain sebelum kita berdepan Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh,” ujar Pan Gon.

Kesemua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan Pan Gon menyatakan harapannya kehadiran penyokong setia Harimau Malaya akan memberikan suntikan semangat untuk pasukan kebangsaan tampil lebih bertenaga dan memberikan kejayaan yang diharapkan. – MalaysiaGazette