MELAKA – Sebuah kumpulan penyamun digelar ‘Geng ADC’ yang dianggotai tujuh suspek termasuk dua beradik dan kekasih tumpas selepas kesemua mereka diberkas polis.

Kesemua suspek empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 31 hingga 43 tahun diberkas berasingan dalam enam siri serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bahru berakhir semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kumpulan itu dipercayai melakukan pecah rumah dan melarikan kenderaan di kawasan Melaka Tengah melibatkan kerugian RM245,100 pada 6 dan 7 Mac lalu.

Susulan itu, katanya satu pasukan khas untuk mengesan Geng ADC telah ditubuhkan untuk mengesan kegiatan kumpulan itu.

“Susulan itu, kita berjaya mengesan tujuh ahli kumpulan Geng ADC termasuk ketua kumpulan bernama Adib berusia 32 tahun.

“Kesemua empat lelaki dan tiga perempuan termasuk antaranya adalah pasangan kekasih berjaya diberkas dalam enam serbuan berasingan sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bahru bermula 7 Mac sehingga semalam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, turut terlibat dalam jenayah tersebut adalah abang dan teman wanita kepada suspek utama.

“Geng ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan modus operandi mereka adalah menggunakan kenderaan sewa untuk menyukarkan aktiviti dikesan.

“Mereka juga menyasarkan rumah yang tiada penghuni sebelum mengumpil tingkap atau pintu,” katanya.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, dengan penahanan kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan enam kes di Melaka dan beberapa kes di negeri lain membabitkan rampasan tiga buah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier, sebuah Perodua Myvi dan Volkswagen Passat.

Katanya, semakan lanjut, lima daripada suspek mempunyai rekod lampau kes pecah rumah, curi kenderaan serta dadah. Katanya kesemua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.