Pekerja asing
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Walaupun tempahan telah meningkat mendadak, tetapi banyak perusahaan tidak berani menerima semua peluang perniagaan kerana kekurangan pekerja.

Naib Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Datuk Ada Poon Yin Hoong berkata, sebuah syarikat pengeluaran mi segera sebagai contoh telah menerima tempahan sampai akhir tahun, tetapi perniagaan itu tidak mempunyai pekerja yang cukup untuk memenuhi tempahan.

Beliau memberitahu Nanyang Siang Pau, walaupun syarikat itu menawarkan sehingga RM2,000 kepada pekerja asing, tetapi masih gagal menggaji orang.

Menurutnya, keadaan sama berlaku dalam kalangan restoran yang sukar mendapat pekerja untuk mencuri pinggan.

Jelasnya, walaupun gaji minimum adalah RM1,200, tetapi gaji ramai pekerja asing telah mencecah RM1,800 hingga RM2,000 kerana majikan bersaing dan merebut pekerja.

Katanya, sekiranya gaji minimum dinaikkan ke RM1,500, majikan mungkin perlu memberi RM2,000 hingga RM2,500.

“Selain faktor kekurangan pekerja, bekalan bahan yang terputus, gaji yang tinggi serta isu logistik dan pengangkutan sering kali menyebabkan perniagaan gagal menyiapkan tempahan mengikut jadual.

“Masalah-masalah seperti ini telah menjejaskan pemulihan perniagaan,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Jelasnya, peniaga berdepan kemelut kerana walaupun tempahan banyak, tetapi mereka kekurangan bahan mentah tertentu dan juga pekerja.

“Kos pengangkutan telah meningkat dan peniaga tidak dapat menjangka ketibaan barang dan bahan yang diimport dari luar negara.

“Dalam keadaan tidak menentu ini, kami berharap kerajaan dapat memberi kepastian dari segi menyediakan prosedur operasi yang jelas, memudahkan permohonan pekerja asing dan melonggarkan syarat pinjaman,” katanya.

Mengenai usaha transformasi untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja, Yin Hoong berkata, keadaan itu tidak boleh dijalankan serta-merta kerana pembelian mesin memerlukan modal yang banyak.

“Perlu diingatkan bahawa banyak perniagaan kehilangan pendapatan selama dua tahun dan mereka perlu mengumpul modal dahulu sebelum boleh melakukan transformasi,” katanya. – MalaysiaGazette