Empat suspek lelaki yang bersubahat dalam satu kes kematian seorang lelaki tempatan dengan kesan tetakan di depan kedai makan dibawa oleh pegawai polis untuk didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 14 APRIL 2022.

PETALING JAYA – Empat rakan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di hadapan sebuah kedai makan di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan pada 3 April lalu.

Tertuduh terlibat M. Mukuntan, 33; S Mahadevan, 40; A Chandramani, 36 dan S Tharma, 30 hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua suspek berkenaan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa membunuh M Danesh, 30, di Jalan BS 6/8, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, sekitar jam 5.27 pagi, 3 April lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan terhadap kesemua suspek dan mahkamah menetapkan 20 Julai depan untuk serahan dokumen serta laporan bedah siasat.

Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki berusia 30 tahun mati dipercayai dibunuh dengan kesan tetakan di muka, leher dan tangan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, mayat mangsa ditemui mati dihadapan sebuah kedai makan di Jalan BS 6/8 Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

Mangsa dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam, kira-kira jam 5.56 pagi, pada 3 April lalu.

Susulan insiden itu, polis menahan empat lelaki berusia antara 30-an hingga 40-an dalam serbuan di Jalan Songket, Taman Maznah, Klang, bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan mendapati kesemua suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan yang berpunca akibat tidak puas hati sehingga menimbulkan dendam. – MalaysiaGazette