Gelagat kanak-kanak bangsa Rohingya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2020. - Gambar hiasan

MALAYSIA termasuk di dalam negara yang tidak pernah meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 berkaitan pengiktirafan ke atas golongan pelarian. Walau bagaimanapun, kerajaan Malaysia yang prihatin ke atas nasib etnik Rohingya telah memberikan golongan tersebut penempatan sementara di atas prinsip kemanusiaan dan
menghargai nyawa insan.

Umum mengetahui bahawa Rohingya merupakan sebahagian daripada tujuh etnik di Myanmar iaitu etnik Bamar, Kachin, Shan, Mon, Kayyah, Chin, Arakan atau Rakhine dan etnik Rohingya. Etnik Rohingya merupakan penduduk di bahagian Pantai Barat Myanmar yang bersebelahan dengan negara Bangladesh. Etnik Rohingya merupakan penduduk asal Myanmar yang mendiami wilayah Arakan (Rakhine) dan pernah diperintah oleh 14 orang Sultan sebelum diserang oleh Tentera Myanmar dan menjadikan wilayah penempatan mereka sebagai jajahan takluk. Nasib etnik Rohingya ini sama halnya seperti kekalahan oleh Kesultanan Melayu Patani kepada Tentera Siam (Thailand) pada tahun 1786 dan kekal menjadi jajahan takluk sehingga ke hari ini.

Pergolakan di Myanmar menyaksikan negara tersebut telah dijajah oleh empayar British namun telah diberikan kemerdekaan pada tahun 1948 dan membentuk Kesatuan Negara Myanmar dan memasukkan wilayah penempatan etnik Rohingya (Arakan/Rakhine) ke dalam sistem kenegaraan. Namun, rampasan kuasa oleh Tatmadaw (kerajaan junta) dibawah Jeneral Ne Win pada tahun 1962 dan pelaksanaan Operasi Raja Naga (Dragon King) pada tahun 1978 telah menyebabkan etnik Rohingya kehilangan hak warganegara. Tambahan pula, kerajaan junta telah memperkenalkan Undang-undang Kerakyatan Burma pada tahun 1982 yang telah memusnahkan terus harapan etnik Rohingya untuk mendapatkan hak kerakyatan. Oleh kerana krisis kemanusiaan bagi etnik Rohingya telah berlaku begitu lama maka terdapat sekumpulan pejuang etnik Rohingya yang bangkit untuk membela nasib komuniti mereka di Arakan/Rakhine.

Perjuangan hak asasi manusia oleh Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA)

Perubahan tampuk kepimpinan di Myanmar daripada kerajaan junta ke kerajaan sivil yang diketuai oleh Aung San Suu Kyi pada pilihanraya tahun 2020 ternyata tidak mengubah nasib etnik Rohingya. Suu Kyi yang dianggap sebagai figura demokratik dan keamanan ternyata tidak melaksankan tindakan kemanusiaan untuk membela etnik Rohingya. Bahkan, Suu Kyi telah secara terang-terangan menolak kewujudan etnik Rohingya melalui notis yang dihantar kepada diplomat Amerika Syarikat di Myanmar supaya tidak menggunakan perkataan Rohingya. Tindakan Suu Kyi ini telah mendapat kecaman pelbagai pihak sehinggalkan Nobel Peace Prize beliau telah ditarik semula.

Oleh kerana layanan Suu Kyi adalah sama seperti kerajaan junta telah menyebabkan perjuangan hak asasi manusia oleh ARSA berterusan. Kumpulan ARSA adalah satu gerakan bersenjata yang dilakukan oleh sekumpulan etnik Rohingya untuk memastikan hak-hak seperti kewarganegaraan diberikan kepada mereka. Gerakan ini pada asalnya diberikan nama Harakah al-Yaqin yang bagi melawan penindasan dan kezaliman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya. Kewujudan ARSA adalah untuk memperjuangkan nasib etnik Rohingya yang telah ditindas berdekad lamanya dengan hak asasi mereka untuk mendapatkan sumber ekonomi, pendidikan, kesihatan, keadilan sosial dan kebajikan telah dinafikan. Bahkan, berdekad lamanya etnik Rohingya telah diseksa, dianiaya, wanita dirogol, rumah dan ternakan dibakar dan kanak-kanak diculik sehingga berjuta etnik Rohingya menjalani kehidupan sebagai pelarian di negara lain termasuklah Malaysia.

Walaupun ARSA telah berusaha untuk membela etnik Rohingya di Arakan, namun pada tahun 2017 kerajaan Myanmar telah mewartakan kumpulan ini sebagai pengganas walaupun tiada bukti yang kukuh untuk menjelaskan tuduhan tersebut. Seterusnya, pihak kerajaan telah melaksanakan Operasi Pembersihan pada tahun 2017 dengan alasan untuk menghapuskan kumpulan pengganas ARSA. Hal ini telah menyebabkan harapan etnik Rohingya untuk mendapatkan kehidupan yang aman dan harmoni telah termusnah walaupun etnik Rohingya di Arakan telah melaksanakan usaha untuk mempertahankan hak mereka.

Menunding jari kepada kumpulan ARSA sebagai pengganas adalah satu tindakan yang kurang tepat kerana dari sudut pensejarahannya telah wujud kumpulan-kumpulan berasaskan etnik minority penting seperti Karen, Mon, Kayan, Kachin dan Arakan sebelum tertubuhnya ARSA pada tahun 1950-an untuk menuntut wilayah yang merdeka dan berautonomi. Antara usaha yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah etnik Rohingya yang sudah berlarutan begitu lama ialah melalui tindakan secara bersepadu dan berterusan di peringkat regional mahupun antarabangsa. Walau bagaimanapun, penglibatan kuasa besar seperti Amerika, Russia dan China sebolehnya perlu dielakkan kerana akan mengakibatkan ‘pertempuran’ yang dahsyat dan luar kawalan yang bakal memberi impak jangka pendek dan panjang kepada ASEAN sebagai organisasi serantau yang utuh di Asia Tenggara.

Putuskan hubungan, laksanakan sekatan, iktiraf Kewarganegaraan Rohingya

Tindakan ketenteraan di wilayah Rakhine bakal memberikan impak negatif yang lebih besar seperti peningkatan jumlah pelarian yang terpaksa keluar dari Myanmar, pelaburan akan terhenti dan ekonomi serantau akan berada di dalam zon ‘gelap’ yang akan merencatkan pertumbuhan ekonomi serantau. Oleh itu, tindakan bukan ketenteraan mungkin lebih sesuai seperti melakukan sekatan ekonomi secara khusus ke atas Myanmar dan membatalkan hubungan diplomasi. Walaupun pelbagai tindakan seumpama ini telah dilakukan tetapi masih belum membuahkan hasil kerana pihak kerajaan Myanmar semacam tidak mengendahkan kecaman dan tindakan.

Maka, usaha memutuskan hubungan dan menarik balik sokongan ekonomi kepada mereka perlu diterjemahkan dengan lebih agresif. Negara-negara serantau juga perlu memberikan tekanan kepada kerajaan Myanmar untuk mengiktiraf etnik Rohingya sebagai warganegara. Justeru itu, aktor-aktor antarabangsa dan serantau perlu memberikan sokongan bersepdau dan berterusn bagi memastikan usaha pemberian kerakyatan ke atas enik Rohingya. Hal ini boleh menyelesaikan masalah di wilayah Rakhine dan pelan pembangunan yang lebih holistik dapat dilaksanakan. Keadaan Tidak Berkerakyatan (KTB) dalam kalangan etnik Rohingya menyebabkan nasib mereka tidak akan berubah buat selama-lamanya.

Oleh: Mohd Ramlan Mohd Arshad (pengkaji PhD di UUM)
Pensyarah kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Negeri Sembilan

1 Komen

  1. Sekiranya benar timbang rasa peri kemanusiaan terhadap Rohingya maka sila angkut Rohingya di kem Myanmar dan Cox Bazaar ke negara sekangkang kera ini boleh terima berjuta-juta pekerja warga asing timah dan getah yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris sebagai warganegara tempatan sehingga tanah rizab Melayu kini 12% lebih kecil berbanding tanah Palestine. Padahnya politikus Pak Pandir menang sorak kampung tergadai.

Comments are closed.