Pendebat-pendebat UPM.

SERDANG – Srikandi Kolej Tun Dr Ismail (KTDI), Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi Naib Juara Pertandingan Debat ‘Sejahtera IPT’: Jawapan Kepada Masalah Kesihatan Mental Dalam Kalangan Mahasiswa Piala Debat Belia Antara Kolej Kediaman Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia 2022 yang berlangsung baru-baru ini di Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

Pasukan UPM yang dibarisi empat pendebat iaitu Nur Syazana Seruji, Siti Noralia Natasha Baharuddin, Imanina Mumtazah Abd Azazis dan Filda Mahashim membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM700, bersama trofi dan sijil.

Pelajar Bacelor Sains dengan Pendidikan Statistik Dengan Kepujian, Fakulti Sains, UPM, yang juga pendebat ketiga, Imanina Mumtazah Abd Azazis, berkata, beliau sangat bersyukur dengan pencapaian tersebut.

“Bukan mudah untuk berada di pentas akhir kerana pelbagai saringan yang perlu ditempuh untuk sampai ke peringkat akhir dan pasukan kami akan berusaha lebih gigih untuk memberi kemenangan kepada UPM satu hari nanti,” katanya.

Johan pertandingan dinobatkan kepada Pasukan Kem Sungai Besi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Sementara itu, 14 pasukan pendebat dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara menyertai pertandingan debat ini yang berlangsung sejak 26 Mac lalu. – MalaysiaGazette