Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat melancarkan Sewa Beli Komersial-i yang merupakan produk pembiayaan yang diperkenalkan bagi memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi, korporat dan badan kerajaan termasuk kerajaan negeri dan majlis tempatan, serta agensi dan juga anak syarikatnya untuk mendapatkan kenderaan komersial atau peralatan baharu.

Penawaran produk ini membuktikan komitmen dan keprihatinan Bank Rakyat terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi dan institusi lain yang terjejas pendapatan perniagaan mereka, selain mengalami masalah kewangan oleh kerana tidak dapat beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan Covid-19.

Bank Rakyat memperuntukkan sebanyak RM350 juta bagi menyokong pertumbuhan industri kenderaan komersial untuk membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka sekali gus mampu mewujudkan persaingan dalam pasaran dan merancakkan ekonomi negara dengan menyediakan produk yang kompetitif dan menarik.

Selain itu, produk pembiayaan ini menawarkan margin pembiayaan, tempoh dan kadar keuntungan yang kompetitif manakala caj e-Hak milik dan bayaran pos pula ditanggung oleh pihak Bank.

Usahawan yang berkelayakan boleh memohon untuk tujuan persendirian atau perniagaan.

Kadar keuntungan yang ditawarkan adalah serendah 2.50% kadar rata setahun manakala margin pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga 90% bagi Akta Barangan, Akta Bukan barangan dan pra-pendaftaran serta 75% bagi peralatan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, Bank Rakyat akan terus menggembleng tenaga bagi mendepani cabaran pandemik Covid-19, seterusnya membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi dan institusi lain yang merupakan tonggak kepada kestabilan sosioekonomi negara, sekali gus memperkukuh ‘Keluarga Usahawan’.

Pelanggan yang berminat boleh membuat permohonan menerusi empat saluran iaitu mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berdekatan, menghubungi Pusat Panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454, mengunjungi Pusat Perniagaan PKS dan Koperasi (SMEC); atau melayari laman web rasmi Bank Rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast