Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Pelancaran e-Pemula di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 APRIL 2022.

CYBERJAYA – Tujuan utama kerajaan melaksanakan program ePemula untuk memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia di samping meringankan beban kewangan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program ePemula di bawah Bajet 2022 merupakan salah satu insentif untuk golongan belia.

Sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi inisiatif itu dan ia dijangka memanfaatkan seramai dua juta orang belia seluruh negara.

“Proses semakan kelayakan dan tuntutan kredit ini telah pun dibuka beberapa hari lalu iaitu pada 11 April. Belia yang layak akan mendapat kredit sebanyak RM150 dalam edompet pilihan mereka iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay atau Touch ‘n Go eWallet.

“Kerajaan berharap melalui ePemula, golongan belia yang layak akan berbelanja secara bijak dan menggunakan kredit RM150 tersebut untuk menyokong perniagaan para pengusaha tempatan terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana secara offline agar mereka dapat pulih sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran e-Pemula di Universiti Multimedia (MMU) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, sekiranya lebih banyak perniagaan pulih, lebih banyak hasil negara dan lebih ramai rakyat terutamanya golongan B40 yang boleh dibantu.

Secara keseluruhan, katanya, kerajaan yakin program seperti ePemula itu akan terus memperkasa dan membudayakan sistem kewangan digital bagi memastikan kemajuan yang inklusif buat semua lapisan rakyat dan perniagaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan komited untuk terus menggalakkan pembayaran secara elektronik dalam kalangan peniaga dan pengguna bagi mewujudkan masyarakat Keluarga Malaysia tanpa tunai.

Justeru, beliau menyarankan agar kesemua usahawan, khasnya Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) supaya mengamalkan urus niaga tanpa tunai terutamanya ketika Fasa Peralihan ke endemik untuk membolehkan Keluarga Malaysia melakukan transaksi di kedai-kedai fizikal secara mudah, cepat dan lebih selamat.

Bagi pembeli pula katanya, mereka tidak perlu lagi membawa dompet atau beg duit fizikal apabila sumber kewangan sentiasa ada dalam aplikasi e-dompet masing-masing. – MalaysiaGazette