SUNGAI BULOH – Kegiatan jenayah satu sindiket melarikan ke Johor sebelum meleraikan lori yang dicurinya dalam bentuk komponen kecil dan menjualnya di pasaran di Johor terbongkar.
Sindiket yang dikenali Geng Esvaran itu didalangi oleh seorang pemilik bengkel sejak tahun lalu akhirnya tersungkur di tangan polis.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, seramai 10 suspek termasuk seorang wanita berusia antara 28 hingga 62 tahun ditangkap menerusi tiga serbuan di Plaza Tol Senawang arah Kuala Lumpur, Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor dan Jalan Kluang, Batu Pahat, Johor.
Menurut Arjunaidi, pada mulanya, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang pemandu lori berusia 63 tahun lorinya hilang selepas diparkir di tepi jalan kawasan perindustrian di Seksyen U5, Shah Alam pada 21 Februari lalu.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD (Ibupejabat Polis Daerah) Sungai Buloh telah melancarkan Operasi Lejang dan melakukan tiga serbuan pada 5 April hingga 10 April lalu.
“Dalam serbuan pertama di Plaza Tol Senawang ke arah Kuala Lumpur polis berjaya menangkap tiga lelaki warga tempatan dan menemui lori jenama Isuzu yang dilaporkan hilang di Kelana Jaya,” katanya dalam sidang media kejayaan di IPD Sungai Buloh hari ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Siastaan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dan Ketua Polis Daerah Sunagi Buloh, Superintendan Shafa’atun Abu Bakar.
Tambah Arjunaidi, berpandukan maklumat dan arah tiga suspek pertama itu, pasukannya mengekori suspek membawa lori itu ke Batu Pahat, Johor sebelum polis menyerbu sebuah bengkel di Jalan Tongkang Pecah.
Menurut beliau, hasil serbuan di lokasi kedua itu, pihaknya berjaya menemui 20 lori melakukan tangkapan ke atas enam orang suspek tempatan termasuk seorang wanita dan juga pemilik bengkel itu berusia 47 tahun.
Mereka semua merupakan dalang yang merancang dan melakukan aktiviti mencuri lori itu.
Hasil pemeriksaan lanjut di bengkel itu pasukannya turut merampas 20 lori dalam keadaan tidak sempurna, sembilan bongkah enjin yang nombor enjin dan casis dikikis serta 11 komponen lori yang dileraikan dan dianggarkan bernilai RM605,000.
“Kemudian bertindak atas maklumat dalang utama sindiket berkenaan polis dibawa ke satu lagi lokasi serbuan iaitu sebuah premis di Jalan Parit Besar, Jalan Kluang sebelum berjaya menemui sebuah lori dalam keadaan sempurna sebelum berjaya menyelesaikan tujuh laporan polis kehilangan lori.
“Modus operandi kumpulan itu yang aktif sejak tahun lalu adalah menyasarkan lori yang diparkir di sekitar Selangor.
“Setiap suspek mempunyai peranan masing-masing iaitu daripada mengungkil dan mencuri lori sebelum suspek berperanan memandu serta menghantar lori ke bengkel sebelum pemilik bengkel (dalang) bersama seorang lagi pekerjanya warga Bangladesh akan berperanan meleraikan komponen kenderaan itu.
“Lori yang dicuri akan dihantar kepada seorang pembeli lelaki bernama Sivakumar yang merupakan orang tengah dalam urusan terbabit didapati masih bebas bersama seorang lagi suspek iaitu pekerja bengkel warga Bangladesh bernama Aktakur@Panjang yang mana kedua-duanya masih giat diburu polis.
“Suspek menerima bayaran upah antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap penghantaran bergantung kepada saiz serta keadaan lori yang dicuri berkenaan sebelum ia dijual sebagai alat ganti di pasaran selatan tanahair itu,” katanya.
Semakan mendapati empat suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau khususnya dalang utama memiliki sembilan rekod jenayah serta pernah ditahan dan menjalani hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Port Dickson sehingga tahun 2021 manakala empat lagi suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek berkenaan masih dalam tahanan reman sehingga 18 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
“Bagaimanapun, aktiviti ini dipercayai masih aktif digerakkan selepas tangkapan suspek-suspek dan dalang sindiket khususnya di seluruh negeri Selangor.
“Polis mengalu-alukan orang ramai menyelurkan maklumat jika terkesan sebarang aktiviti kegiatan ini wujud untuk tindakan segera,” ujarnya.- MalaysiaGazette