SEPANG – Mayat lelaki tanpa identiti ditemui di tepi Jalan Sepang-Salak, pagi tadi, dengan kesan kecederaan di perut serta tangan terikat dengan wayar kabel.
Ketua Polis Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu, kira-kira 8.32 pagi, daripada seorang individu yang menghubungi Balai Polis Sepang.
Beliau berkata, lokasi kejadian merupakan kawasan yang dikelilingi ladang kelapa sawit dan pemeriksaan di sekitar kawasan penemuan mayat menjumpai satu unit sarung sabit, tiga puntung rokok, gumpalan rambut dan kesan darah berhampiran mangsa.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat.
Wan Kamarul Azran turut meminta mereka yang kehilangan ahli keluarga atau rakan untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette